Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di Malaysia supaya menghadapi cabaran membina bangsa dan negara dengan berpaksikan sunah serta meneladani perjuangan Rasulullah SAW.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M pada hari ini menekankan melalui kepimpinan Baginda SAW di Madinah, Rasulullah telah meletakkan asas-asas ketamadunan yang kukuh, termasuk menegakkan martabat insan, prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, serta nilai ilmu dan akhlak yang berteraskan agama.
“Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul.
“Umat ini dicirikan dengan keimanan, nilai-nilai khayr (kebaikan), memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat, serta beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai ma’ruf dan pembasmian gejala-gejala mungkar,” kata beliau.
Anwar yakin dengan penghayatan dan kefahaman yang mendalam terhadap intipati ajaran dan warisan Nabi SAW, ia akan terus memandu dan mendorong seluruh umat Islam untuk bekerja dengan lebih kuat, berdisiplin, dan optimis dalam menghadapi masa depan.
“Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.
“Istilah al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari cahaya (petunjuk wahyu) dan mengakar pada asas tauhid.
“Ia membayangkan aspirasi pembinaan kota sebagai tapak tamadun yang kemudian memberi dampak besar kepada dunia.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah SWT, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh serta hikmah ar-Rasul,” katanya.
Pendekatan ini diharap dapat membimbing negara dalam menangani pelbagai cabaran semasa secara bijaksana dan berprinsip.
Terpedaya peraduan gores dan menang, lelaki rugi RM2,470
Bantuan RM1,000: Lebih 15,000 pemandu teksi, kereta sewa layak terima
Bekas jurufoto Utusan berdepan masalah kesihatan terima bantuan Tabung Kasih Hawana
Malaysia buru penggal baharu kerusi Majlis ITU, main peranan bentuk dasar digital
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum