Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan antarabangsa.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan antarabangsa, sekali gus mengakibatkan sembilan rakyat Malaysia kini ditahan oleh tentera berkenaan.
Insiden tersebut berlaku pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia, apabila kapal-kapal di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleins To Gaza (TMTG) telah dihalang secara tidak sah di perairan antarabangsa.
Kesemua lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal ‘Conscience’ telah ditahan.
Mereka ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakirah Mohd Suhaimi, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Dr. Maziah Muhammad, yang menaiki kapal ‘Umm Saad’ turut ditahan.
Anwar menegaskan tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza yang menderita ini adalah satu pencabulan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan,” tegas beliau.
Beliau juga memberikan jaminan penuh komitmen Kerajaan Madani untuk melindungi semua aktivis negara yang ditahan regim tersebut.
“Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini, dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin,” tambahnya.
Misi kemanusiaan gelombang ketiga ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan pertubuhan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Usaha diplomatik segera sedang giat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kebebasan semua individu yang ditahan.
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
Kerajaan tarik balik RUU Pembaharuan Bandar untuk penambahbaikan: Fahmi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong