Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan.
Anwar Ibrahim menyifatkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza sebagai satu bentuk sedekah jariah, ketika rakyat di wilayah itu terus berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Perdana Menteri berkata, misi penghantaran 30 kontena bantuan termasuk bekalan ubat-ubatan serta penyertaan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 menunjukkan komitmen Malaysia untuk membantu walaupun negara sendiri turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
“Orang di Gaza kebuluran, tetapi kita tetap hulurkan bantuan.
“Dalam keadaan kita juga berdepan kesukaran, kita cuba membantu mereka yang lebih susah. Inilah semangat sedekah jariah yang perlu ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Madani di Tambun.
Menurut beliau, usaha memastikan bantuan itu sampai ke Gaza bukan sesuatu yang mudah, malah memerlukan kerjasama antarabangsa termasuk rundingan dengan pihak Mesir.
Anwar berkata sudah menghubungi Presiden Abdel Fattah el-Sisi bagi memohon laluan bagi membawa masuk bantuan melalui pintu sempadan Rafah.
“Saya terpaksa menelefon Presiden Mesir untuk minta bantuan buka laluan. Tanpa kerjasama itu, bantuan kita tidak dapat disalurkan,” katanya.
Sejak tercetusnya konflik di Gaza, keadaan kemanusiaan di wilayah itu semakin kritikal dengan kekurangan makanan, air bersih dan kemudahan perubatan.
Pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa telah menyalurkan bantuan, namun cabaran logistik dan sekatan sempadan sering menjadi halangan utama.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan keperluan berjimat cermat dalam kalangan pemimpin negara susulan tekanan ekonomi semasa.
Beliau mendedahkan tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sejak tiga tahun lalu sebagai contoh pengorbanan peribadi.
“Saya tidak ambil gaji kerana ekonomi belum pulih sepenuhnya. Tetapi ini bukan kewajipan untuk semua. Yang penting, elakkan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan tersebut adalah pilihan peribadi dan bukan satu keperluan untuk diikuti pemimpin lain, selagi integriti dan amanah dalam pentadbiran terus dijaga.
KPDN cari jalan ringankan beban pengusaha stesen minyak
Pergerakan pasaran bursa dijangka kekal berhati-hati minggu depan
Harga barang kekal stabil selagi bekalan cukup: Mohamad Sabu
Madani Mart akan dibuka di setiap DUN, tawar harga berpatutan
Fahmi rakam ucapan takziah atas pemergian Ling Liong Sik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan