Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dirasmikan Anwar Ibrahim hari ini, ke arah langkah memperkukuh perang terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sindiket penipuan yang menyasarkan rakyat.
“Jenayah scam bukan isu kecil. Ia merampas hasil titik peluh rakyat. Kita mesti bertindak lebih pantas, lebih tegas dan lebih bersepadu,” katanya ketika berucap kepada petugas NSRC semasa majlis perasmian di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
NSRC yang ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia dan berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri.
Sejak 17 November lalu, pusat itu dipindahkan ke Cyberjaya dan kini beroperasi 24 jam sehari berbanding 8 pagi hingga 8 malam sebelum ini. Orang ramai boleh menghubungi talian 997 untuk membuat aduan.
Anwar turut meninjau operasi di aras 17 bangunan berkenaan sebelum menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Menurut Anwar, pemerkasaan NSRC adalah sebahagian daripada agenda besar kerajaan untuk meningkatkan keselamatan digital negara, sejajar dengan peningkatan kes penipuan dalam talian yang semakin kompleks susulan penggunaan teknologi baharu dan taktik manipulasi psikologi oleh sindiket.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut hadir pada majlis itu bersama pegawai kanan kerajaan dan keselamatan.
Keupayaan NSRC kini dipertingkat melalui kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia dan bank-bank komersial yang ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.
Pendekatan sehenti ini membolehkan proses mengesan serta membekukan aliran dana yang terlibat dalam penipuan dilakukan dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan wang mangsa.
“Kerjasama strategik ini membuktikan komitmen kita untuk lindungi rakyat. Respons mesti segera kerana setiap minit sangat berharga,” kata Anwar.
Langkah terbaharu ini dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara, ketika jenayah digital semakin menjadi ancaman utama kepada kesejahteraan rakyat.
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi