Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad. Foto kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad di Markazu Saquafathi Sunniya atau Jamia Markaz di Calicut, hari ini bagi membincangkan usaha memperkukuh pendidikan, pembangunan masyarakat serta keharmonian antara agama.
Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung selepas Anwar selesai menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi sebelum meneruskan lawatan kerja lima hari di India.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua tokoh bertukar pandangan mengenai kepentingan pemerkasaan pendidikan dan pembangunan masyarakat, selain keperluan memperkukuh kefahaman antara penganut agama dalam menghadapi cabaran semasa.
Anwar tiba di Jamia Markaz pada 5.50 petang waktu tempatan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Agung Sementara Jamia Markaz Dr Muhammad Abdul Hakkim Kandi, Pengarah Jamia Markaz C.P. Ubaidullah Saquafi serta Rektor Jamia Markaz Dr Roshan Nurani.
Selesai pertemuan, Anwar turut menunaikan solat Maghrib sebelum menghadiri majlis Gathering of Honour Prime Minister Malaysia dan majlis ilmu di institusi Islam berkenaan.
Jamia Markaz merupakan antara institusi pendidikan Islam yang dikenali di India, dengan penekanan terhadap pendidikan agama, pembangunan masyarakat dan kebajikan.
Sheikh Abubakr Ahmad, Mufti Besar India ke-10, berasal dari Keralam dan dibesarkan dalam tradisi keilmuan Sunni-Sufi.
Beliau turut dikenali atas pendekatan yang menghubungkan keilmuan Islam dengan isu masyarakat, termasuk kemiskinan, akses kepada pendidikan, pengangguran, masalah sosial serta kebajikan anak yatim.
Pertemuan itu dilihat selari dengan pendekatan Malaysia yang menekankan kepentingan dialog antara agama dan usaha membina masyarakat yang lebih harmoni melalui pendidikan serta kefahaman bersama.
Lawatan Anwar ke India turut merangkumi agenda diplomasi, perdagangan dan kerjasama antarabangsa, termasuk penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi.
Terdahulu, pesawat yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia dari New Delhi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut pada 4.56 petang waktu tempatan, bersamaan 7.26 malam waktu Malaysia.
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
Jerebu makin membimbangkan, tiada kawasan catat IPU sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum