Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Perikatan Nasional (PN) masih belum memuktamadkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu apabila gabungan itu memilih untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian urusan dalaman terlebih dahulu.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata keputusan berhubung jawatan itu akan dibuat secara kolektif melibatkan semua parti komponen dalam PN, bukan hanya PAS walaupun parti itu merupakan yang terbesar dalam gabungan berkenaan.
“Perkara ini akan dibincangkan bersama semua pihak dalam PN kerana ia membabitkan semua parti komponen dan Ahli Parlimen pembangkang.
“Kita tidak boleh buat keputusan secara bersendirian,” katanya kepada media selepas menghadiri program di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.
Beliau menjelaskan, masa masih mencukupi untuk membuat keputusan kerana sidang Parlimen hanya dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
Justeru, PN mahu memastikan setiap perbincangan dilakukan dengan teliti agar keputusan yang dicapai benar-benar mengambil kira pandangan semua pihak.
Sebelum ini, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan memaklumkan Ketua Pembangkang baharu daripada PAS dijangka diumumkan sebelum akhir Mac selepas beberapa proses dalaman selesai.
Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan keputusan itu masih dalam peringkat rundingan.
Ketika ini, Hamzah Zainudin masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang sementara menunggu keputusan rasmi pucuk pimpinan PN.
Isu pelantikan Ketua Pembangkang menjadi perhatian selepas perubahan landskap politik pasca pilihan raya, yang menyaksikan PN muncul sebagai blok pembangkang utama di Parlimen.
Jawatan tersebut penting bagi menyelaras suara pembangkang serta memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan PN tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan.
“Kita ambil kira semua aspek termasuk pandangan parti politik dan Ahli Parlimen pembangkang sebelum memuktamadkan perkara ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun optimis bahawa keputusan berhubung pelantikan itu dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum sidang Parlimen bermula.
Fokus bantu rakyat, UMNO sokong cadangan PMX tidak buat PRU awal
PKR diingatkan kekal bersatu, elak perbalahan terbuka: Ramanan
Rafizi didakwa buat sabotaj dalaman PKR
Himpunan bantah harga minyak tak selesaikan kos sara hidup: AMK Johor
Tiada PRU pada masa terdekat, fokus pulihkan negara hadapi krisis global
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan