Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menafikan dakwaan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad.
Parti Bersatu menolak dakwaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan situasi dalaman Perikatan Nasional (PN) sebagai “mudarat besar”, sekali gus memperlihatkan ketegangan yang semakin memuncak dalam parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata tuduhan pengikut setia Ketua Pembangkang tak berparti, Hamzah Zainuddin itu sebagai tidak tepat dan mendakwa terdapat isu yang jauh lebih serius, termasuk tindakan melanggar perlembagaan parti serta usaha rakus untuk merebut kuasa.
“Mudarat yang sebenar adalah apabila ada pihak sanggup melanggar sumpah dan peraturan demi kepentingan sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kem yang dikaitkan dengan Hamzah turut didakwa terlibat dalam beberapa pelanggaran disiplin termasuk rundingan dengan parti lain tanpa kebenaran serta penggunaan akuan berkanun (SD) yang diragui kesahihannya.
“Semua ini adalah mudarat besar, bukan perkara kecil. Persoalannya, halal atau haram untuk disokong? Tepuk dada, rujuk syariat,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan Fayhsal dilaporkan menggesa kepimpinan tertinggi PN membuat keputusan jelas antara menyokong presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, atau Hamzah, yang juga bekas timbalan presiden parti itu.
Ahli Parlimen Machang itu menyatakan konflik antara kedua-dua tokoh tersebut dilihat sukar diselesaikan.
Ketegangan dalaman ini bukan perkara baharu dalam Bersatu, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan perpecahan kepimpinan dan perebutan pengaruh.
Situasi ini turut memberi kesan kepada kestabilan PN sebagai gabungan politik utama pembangkang.
Mengulas lanjut, Tun Faisal mencadangkan agar kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti mempertimbangkan untuk menyertai UMNO sebagai langkah strategik menghadapi pilihan raya.
Katanya, langkah itu boleh membuka peluang untuk mereka terus bertanding sebagai calon.
“Jika benar ikhlas, UMNO boleh menerima mereka dan menamakan sebagai calon. Malah, tidak mustahil diberikan jawatan tinggi jika gabungan itu kembali berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyindir kelompok tersebut sebenarnya sedar mereka tidak mempunyai kedudukan signifikan di luar Bersatu.
“Tanpa jawatan dalam parti, mereka mungkin hanya menjadi ahli biasa dan tidak lagi dipandang,” katanya.
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
Tangguh PRN: Mat Maslan jelaskan itu pandangan peribadi
Rosmah nafi hilangkan barang kemas dari Lubnan
AMK Johor cadang tangguh PRN, fokus bantu rakyat hadapi krisis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan