Video tular seorang individu memakai baju seragam tentera Jepun.
Polis membuka kertas siasatan berhubung kemunculan seorang lelaki berpakaian menyerupai anggota pasukan keselamatan yang dilihat membawa objek dipercayai senjata tiruan di Taman Bukit Desa, Kepong, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gombak, Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan mengenai video berkenaan pada jam 4.31 petang semalam selepas ia tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut beliau, rakaman tersebut memaparkan seorang individu yang identitinya masih belum dikenal pasti memakai pakaian menyerupai seragam pasukan keselamatan sambil memegang objek yang dipercayai senjata tiruan.
“Video itu memaparkan seorang lelaki memakai pakaian menyerupai pakaian pasukan keselamatan dan memiliki senjata yang disyaki tiruan. Kejadian dilaporkan berlaku di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan diterima, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian askar, kelasi atau askar udara tanpa kebenaran.
Pada masa sama, kes turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana disyaki memiliki atau mengimport senjata tiruan.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000. Bagi kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM5,000,” katanya.
Polis kini sedang mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan serta mengenal pasti motif sebenar tindakannya.
Rakaman yang tular itu menunjukkan lelaki berkenaan berjalan di tengah jalan sambil memegang objek menyerupai senjata.
Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam di kawasan yang agak sunyi dengan pencahayaan terhad daripada lampu jalan dan beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum