PRN Melaka: Calon wanita muda PH berdepan saingan empat penjuru di Klebang

5 jam lalu · Politik

Calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, menjadi antara tumpuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 apabila menyertai persaingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Farzana yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu berdepan tiga calon lain, termasuk penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Lim Ban Hong.

Dua lagi calon ialah Mohamad Ali Mohamad daripada Bersatu dan Young Jie Yu yang mewakili Bersama.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ainu Nizla Kasman, mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi.

Beberapa pemimpin utama parti turut hadir mengiringi calon masing-masing, antaranya Presiden MCA, Wee Ka Siong, pengasas Bersama, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.

Farzana bukan wajah baharu dalam gelanggang pilihan raya.

Pada PRN Melaka 2021, ketika berusia 21 tahun dan masih bergelar mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau bertanding di DUN Sungai Rambai.

Bagaimanapun, Farzana hanya memperoleh 1,356 undi dan gagal memenangi kerusi berkenaan.

Lima tahun kemudian, beliau kembali bertanding, kali ini di DUN Klebang, dengan pengalaman politik yang dikumpul sejak penyertaan pertamanya dalam pilihan raya negeri.

Pengalaman lalu boleh menjadi bekalan penting buat Farzana, namun cabaran kali ini ialah membuktikan sejauh mana pengalaman itu membantu beliau memahami keperluan penduduk setempat serta menawarkan penyelesaian yang berkesan.

Pada masa sama, beliau perlu berdepan Lim yang berjaya mempertahankan kerusi Klebang pada PRN 2021 dengan memperoleh 5,028 undi.

Ketika itu, Lim menewaskan calon PKR, Gue Teck yang mendapat 4,152 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Bakri Jamaluddin memperoleh 3,884 undi.

Keputusan tersebut memberikan gambaran persaingan yang wujud di Klebang sebelum ini, dengan Lim berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

Pada PRN kali ini, kehadiran empat calon membuka ruang kepada pengundi menilai rekod penyandang, tawaran parti serta kemampuan setiap calon membawa isu dan kepentingan penduduk.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November sebagai tarikh pengundian awal, manakala pengundian biasa berlangsung pada 14 November.

Secara keseluruhan, seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRN Melaka kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.

Berita berkaitan
PRN Melaka: PKR pertaruh Ketua AMK di Ayer Molek
3 jam lalu· Politik
PRN Melaka: PH tampil Mohd Yunazri cabar Ab Rauf di Tanjung Bidara
3 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Ginie Lim kembali buru kerusi Machap Jaya
5 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Supol PM berdepan saingan tiga penjuru di DUN Paya Rumput
5 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Selepas kurang kelihatan di Parlimen, Hadi turun beri sokongan kepada calon di Melaka
5 jam lalu · Politik
BN-PN berpotensi bekerjasama di peringkat Persekutuan: Asyraf Wajdi
5 jam lalu · Politik
BN, PH dalam kerajaan sama tetapi guna logo berbeza: Mohamad Sabu
5 jam lalu · Politik
PRN Melaka: 28 Pusat penamaan calon ditutup, kempen bermula secara rasmi
5 jam lalu · Politik
CSA: Yuneswaran jawab kritikan Wan Saiful, kestabilan negara lebih penting
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok