Calon PH, Ginie Lim Siew Lin (dua dari kanan).
Kehadiran barisan pimpinan utama PKR yang juga menteri mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Ginie Lim Siew Lin, menjadi antara tumpuan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, hari ini.
Ginie yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya tiba di Kompleks Japerun Machap Jaya, Bukit Bulat, kira-kira jam 8.20 pagi bersama penyokongnya.
Beliau diiringi Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha PH.
Turut hadir Naib Presiden PKR merangkap Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan; Ketua Wanita PKR Pusat merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Maszlee Malik.
Kehadiran barisan pemimpin berkenaan dilihat memberikan sokongan kepada usaha PH merampas semula kerusi Machap Jaya yang pernah dimenangi parti itu pada PRN 2018.
Sementara itu, penyandang kerusi berkenaan, Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN), tiba kira-kira jam 7.45 pagi di sebuah gerai berhampiran untuk bersarapan bersama penyokongnya.
Beliau turut diiringi Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon. Beberapa penyokong daripada Perikatan Nasional (PN) juga dilihat hadir di lokasi berkenaan.
Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Prasanth Kumar, pula tiba di pekarangan pusat penamaan calon kira-kira jam 8 pagi bersama penyokongnya.
Persaingan di Machap Jaya dijangka menarik perhatian berdasarkan rekod pertukaran penguasaan kerusi itu dalam dua PRN terdahulu.
Pada PRN 2018, Ginie memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 5,550 undi dan majoriti 1,336 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon BN daripada MCA, Koh Nai Kwong, serta calon PAS, Wan Zahidi Wan Ismail.
Bagaimanapun, pada PRN 2021, Ngwe merampas kerusi itu daripada BN dengan memperoleh 3,732 undi dan majoriti 938 undi, menewaskan calon PH, Law Bing Haw, dalam pertandingan lima penjuru. Ginie tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Perubahan sokongan pengundi dalam dua pilihan raya lalu menjadikan Machap Jaya antara kerusi yang wajar diberi perhatian dalam PRN kali ini, khususnya dalam menentukan kemampuan PH merampas semula kerusi itu dan BN mempertahankan kedudukannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November sebagai hari pengundian awal, manakala pengundian biasa akan berlangsung pada 14 November ini.
Selepas kurang kelihatan di Parlimen, Hadi turun beri sokongan kepada calon di Melaka
BN-PN berpotensi bekerjasama di peringkat Persekutuan: Asyraf Wajdi
BN, PH dalam kerajaan sama tetapi guna logo berbeza: Mohamad Sabu
PRN Melaka: 28 Pusat penamaan calon ditutup, kempen bermula secara rasmi
CSA: Yuneswaran jawab kritikan Wan Saiful, kestabilan negara lebih penting
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum