R. Yuneswaran
Kerjasama politik menerusi Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada rakyat dan kestabilan negara, bukannya terus terperangkap dalam polemik serta persaingan antara parti.
Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran berkata, keterbukaan Kerajaan MADANI menawarkan CSA kepada parti pembangkang bukan perkara baharu, sebaliknya pendekatan yang telah ditunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak awal pentadbirannya.
“Perkembangan ini perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara.
“Ia juga mencerminkan keterbukaan Kerajaan MADANI dalam membina ruang kerjasama politik yang lebih progresif, melangkaui perbezaan parti dan kepentingan politik sempit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap kritikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang mempersoalkan keputusan kepimpinan Parti Bersatu menandatangani CSA dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Wan Saiful membangkitkan percanggahan pendirian Bersatu yang sebelum ini melabel enam Ahli Parlimennya sebagai pengkhianat kerana menyokong Anwar, tetapi kini mengambil langkah memeterai perjanjian dengan kerajaan.
Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada prinsip perjuangan politik boleh dikompromi demi mendapatkan peruntukan kepada wakil rakyat.
Mengulas perkembangan itu, Yuneswaran berkata kesediaan Bersatu memeterai CSA perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara.
Ujarnya lagi, negara yang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan tuntutan pembangunan memerlukan kestabilan politik bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita tidak boleh selama-lamanya terperangkap dalam polemik dan persaingan politik. Politik mempunyai tempat dan waktunya, tetapi tanggungjawab mentadbir negara serta memenuhi harapan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Yuneswaran berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan prestasi pemimpin dan parti politik seharusnya dinilai berdasarkan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya semata-mata melalui persaingan politik.
“Akhirnya, rakyat tidak menilai kita berdasarkan sejauh mana kita berpolitik, tetapi berdasarkan sejauh mana kita mampu menyelesaikan masalah mereka dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, CSA yang dimeterai pada 29 Oktober melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Muhyiddin Yassin, selain Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan enam Ahli Parlimen Bebas.
Perjanjian itu antara lain berkaitan sokongan terhadap Belanjawan 2027 serta komitmen terhadap reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.
Projek30% puji langkah PKR ketengah calon wanita di PRN Melaka, cadang kuota diwajibkan
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
PAS dakwa pihak lawan gerun penyatuan dengan BN, yakin menang Melaka
PRN Melaka: Bersatu umum lapan calon, empat kerusi bertindih dengan PH
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum