PRN Melaka: PH desak projek terbengkalai didedahkan, gesa siasatan

November 2, 2026 · Politik

Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa kerajaan negeri mendedahkan secara telus status projek terbengkalai, termasuk jumlah wang dibelanjakan, pihak bertanggungjawab serta perancangan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, semakan menyeluruh perlu dilakukan terhadap semua projek terbengkalai tanpa mengira pihak yang meluluskannya demi memastikan wang rakyat dilindungi.

Beliau berkata, antara projek yang perlu diberi perhatian ialah Monorel Melaka yang menelan kos kira-kira RM16.5 juta serta projek Arab City.

“Asas kita bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi bagi PH, prinsipnya jelas iaitu wang rakyat mesti dilindungi.

“Setiap projek terbengkalai perlu disemak secara telus tanpa mengira pihak yang meluluskannya. Rakyat berhak mengetahui berapa banyak wang sudah dibelanjakan, ke mana wang itu disalurkan dan siapa yang bertanggungjawab memulihkan projek berkenaan,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utamanya hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, Ketua Komunikasi PKR Melaka, Asri Ibrahim dan Ketua Unit Media Jabatan Pilihan Raya PH, Jonathan.

Mengulas lanjut, Adly berkata, projek terbengkalai yang dibiarkan terlalu lama bukan sahaja mencemarkan imej negeri dan menjejaskan sektor pelancongan, malah berpotensi mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung serta orang awam.

Katanya, projek Monorel Melaka perlu dinilai semula bagi menentukan sama ada ia masih sesuai diteruskan menerusi pelaburan baharu atau perlu ditamatkan sekiranya struktur sedia ada tidak lagi selamat digunakan.

“Kita perlu melihat sama ada projek itu boleh ditambah baik dengan membuka peluang kepada pelaburan baharu atau jika strukturnya secara asas tidak boleh digunakan lagi dan mempunyai isu keselamatan, kita tiada pilihan selain menamatkannya,” katanya.

Beliau turut menegaskan projek terbengkalai tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan melebihi 10 tahun hanya kerana ia dimulakan oleh pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, kerajaan negeri yang memerintah perlu mempunyai hala tuju serta perancangan jelas untuk menyelesaikan setiap projek bermasalah dalam tempoh pentadbirannya.

Adly berkata, ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan awam perlu dijadikan amalan berterusan bagi memastikan setiap wang yang dibelanjakan memberikan manfaat kepada rakyat.

Isu projek terbengkalai dijangka terus menjadi antara perkara yang mendapat perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya berkaitan kecekapan pentadbiran, pengurusan kewangan awam dan usaha memelihara imej Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Berita berkaitan
Polis beri amaran isu 3R sepanjang kempen PRN Melaka
November 2, 2026· Politik
PH pilih pendekatan politik khidmat di Melaka, bukan hanya bersuara lantang: Fahmi
13 jam lalu· Politik
Perpaduan Melayu-Islam UMNO-PAS hanya helah politik: Amanah Selangor
14 jam lalu· Politik
BN-PN bergabung, DAP perlu bersedia hadapi cabaran besar: Loke
23 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
CSA enam Ahli Parlimen Bersatu bukan keputusan PN: Takiyuddin
November 2, 2026 · Politik
Jangan salah guna agama dalam politik, pesan Dr Maza
13 jam lalu · Politik
Isu jalan luar bandar: Zafrul sindir ada pihak guna cybertrooper Vietnam
13 jam lalu · Politik
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
21 jam lalu · Politik
Najib kekal di penjara selagi denda RM50 juta belum dibayar: AG
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
23 jam lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok