Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila berkongsi serangkap pantun yang membawa mesej persahabatan dan perpaduan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin hangat, menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertanding sesama sendiri.
Perkongsian menerusi Facebook itu hadir ketika kedua-dua gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kini memilih haluan berasingan dalam saingan PRN Negeri Sembilan.
Pantun empat kerat yang dikongsikan Perdana Menteri berbunyi:
“Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.”
Anwar turut memuat naik beberapa gambar mesyuarat Kabinet yang memperlihatkan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.
Perkongsian itu dilihat membawa mesej supaya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan terus dipelihara walaupun PH dan BN kini bersaing bagi merebut sokongan pengundi di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Anwar mengingatkan semua menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam kerajaan ketika berkempen.
Menurut beliau, mana-mana anggota pentadbiran yang gagal mematuhi prinsip itu wajar melepaskan jawatan.
“Berbeza langkah dalam pilihan raya tidak seharusnya memutuskan hubungan persahabatan. Selagi muafakat dipertahankan, kita tetap sehaluan,” tulis Anwar menerusi hantaran berkenaan.
Kenyataan itu hadir sehari selepas Ahmad Zahid dilaporkan berkata Perdana Menteri bebas memecat beliau serta menteri-menteri BN sekiranya tidak berpuas hati, namun menegaskan beliau tidak melihat keperluan mana-mana daripada lapan menteri BN meletakkan jawatan.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan PH dan BN kembali bertanding secara berasingan selepas berganding bahu pada pilihan raya negeri 2023.
PH meletakkan calon di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN bertanding di 25 kerusi.
Pada masa sama, BN mempunyai persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon di 11 kerusi, sementara Bersatu bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi.
Antara anggota Kabinet yang turut bertanding ialah Loke yang mempertahankan kerusi DUN Chennah dan Menteri Luar, Mohamad Hasan yang mempertahankan DUN Rantau.
PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos dan menjadi antara medan tumpuan kerana menguji hubungan politik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan walaupun mereka masih bekerjasama mentadbir negara.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri