Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjual lebih 3,400 set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat pagi ini, menandakan minat yang tinggi dalam pertandingan merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, mendedahkan daripada jumlah borang yang telah dijual, seramai 325 bakal calon telah pun menyelesaikan pembayaran deposit mereka.
“Setakat hari ini, kita sudah menjual lebih 3,400 borang di seluruh pejabat-pejabat RO kita di Sabah dan juga di ibu pejabat di Putrajaya,” katanya selepas melakukan tinjauan persiapan akhir di Dewan Sri Putatan hari ini.
Proses penamaan calon esok akan berlangsung serentak di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri ini.
Ramlan menegaskan SPR telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kemasukan calon, termasuk di kawasan yang dijangka menyaksikan pertandingan sengit.
Beliau menasihati semua bakal calon agar hadir dalam tempoh masa yang ditetapkan, iaitu dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi.
“Urusan untuk kita memproses borang itu, tak ada had ditetapkan. Kita akan selesaikan sehingga semua borang yang sudah dikumpulkan dapat diproses sepenuhnya,” janjinya.
Ramlan turut mengimbau para penyokong parti politik agar bekerjasama dan menghormati proses tersebut.
“Saya berharap proses penambahan calon esok akan dapat berjalan dengan aman dan tenang. Semua pihak kita harap dapat memberi kerjasama sebaik mungkin kepada SPR dan juga pihak keselamatan,” katanya.
Mengenai persediaan infrastruktur, beliau memaklumkan segala keperluan seperti kemudahan internet, logistik, dan ruang yang selesa untuk bakal calon telah disiapkan bagi memastikan proses esok berjalan lancar.
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum