Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh mempunyai kefahaman yang cetek mengenai istilah “parti anak-beranak”, sambil menegaskan konsep itu bukan sekadar merujuk kepada ahli keluarga menjadi calon pilihan raya.
Menurutnya, istilah tersebut mempunyai maksud yang lebih luas termasuk amalan memilih calon berdasarkan hubungan rapat, kelompok atau kroni tanpa mengambil kira kelayakan serta integriti.
“Begitulah ceteknya pemikiran Ketua Pemuda UMNO. Walhal parti anak-beranak itu mempunyai makna yang lebih luas.
“Dalam soal calon, memilih calon daripada kalangan kroni, kelompok, penyokong dan penjilat sendiri juga dianggap politik anak-beranak. Paling jahanam ialah kualiti, pendidikan dan akhlak calon tidak diambil kira. Asalkan kroni, mereka mudah jadi calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sampai bila budaya sedemikian akan terus dibenarkan berlaku dalam parti.
Mengulas dakwaan beliau cuba mengetengahkan anaknya sebagai calon, Mohd Puad menjelaskan perkara itu bukan semata-mata kerana hubungan kekeluargaan, sebaliknya anaknya mempunyai pengalaman sebagai bekas pemimpin pelajar serta telah melalui proses latihan dan bimbingan.
“Kebetulan dia bekas pemimpin pelajar. Dia dilatih dan dibimbing termasuk dalam soal pemikiran dan komitmen. Malangnya Asyraf hanya menyiarkan dua perenggan mesej saya kepadanya, sedangkan hujah mengenai potensi dan komitmennya tidak disiarkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa pentadbiran UMNO di bawah Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, kini terlalu eksklusif sehingga akses kepada kemudahan di ibu pejabat parti didakwa lebih mudah dinikmati oleh kelompok tertentu.
Kenyataan Mohd Puad itu dibuat sebagai reaksi terhadap kritikan Akmal sebelum ini mengatakan UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan politik keluarga atau memberi keutamaan kepada ahli keluarga untuk dipilih sebagai calon pilihan raya.
Akmal juga menolak dakwaan UMNO Johor gagal memenuhi aspirasi golongan muda, dengan menyatakan ramai calon muda diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Calon PH cabar calon BN berdebat depan pengundi Jeram Padang
Dakwaan Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ DAP fitnah jahat
Hanya mohon sokongan pengundi awal, bukan beri arahan
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?