Sidang media Rafizi Rami di Parlimen.
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, mendedahkan isterinya menerima mesej ugutan yang mengaitkan anak mereka dengan jangkitan AIDS selepas kejadian serangan terhadap anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan mesej berbaur ugutan itu diterima pada jam 1.45 tengah hari semalam.
“Mesej itu berbunyi ‘diam, jika teruskan, AIDS’,” dedah Rafizi.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut mengaitkan serangan ke atas anaknya itu sebagai satu bentuk amaran untuk “menutup mulutnya” berhubung pendedahan sebuah skandal kewangan yang sedang disiasatnya.
Beliau memberitahu, maklumat mengenai skandal tersebut diperoleh hasil pertemuannya dengan sekumpulan pemberi maklumat pada Rabu minggu lalu.
“Pada hemat saya, ini berkaitan cubaan untuk membungkam saya. Ada sesuatu yang sedang saya selidiki, dan serangan ini adalah mesej kepada saya,” jelas Rafizi.
“Memang ada kumpulan whistleblower yang datang berjumpa saya minggu lepas mengenai satu skandal melibatkan wang. Saya rasa pihak terbabit tahu bahawa jika saya mula menyiasat sesuatu skandal, saya akan terus mendalaminya. Mereka mahu saya ‘move on’ dan tidak teruskan siasatan,” tambahnya.
Walaupun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai skandal berkenaan, Rafizi percaya kejadian semalam mempunyai kaitan langsung dengan usahanya mendedahkan penyelewengan tersebut.
Beliau sebelum ini dikenali sebagai seorang yang aktif mendedahkan salah laku kewangan, termasuk skandal 1MDB, ketika berkhidmat sebagai Ahli Parlimen pembangkang.
Polis dilaporkan sedang menyiasat kes serangan ke atas anak Rafizi yang berlaku di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
PRN Melaka: Anwar sahkan PH sedia buka ruang kerjasama, bincang cari titik persamaan
Hubungan dengan Istana retak, Mahfuz persoal kedudukan MB Negeri Sembilan
Anwar minta Loke fikir semula keputusan letak jawatan
Johari: Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat
PAS jangan diam, jelaskan peranan wakil dalam krisis Negeri Sembilan: AMK
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum