Ketua AMK, Muhammad Kamil Ahmad Munim.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam kes SRC International tidak memadamkan rekod kehakiman serta kesan kewangan yang ditanggung negara susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keputusan berkaitan pengampunan perlu dihormati kerana ia berada di bawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang keputusan yang dimuktamadkan di bawah bidang kuasa ini wajib dihormati demi memelihara kedaulatan institusi serta sistem perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan media.
Pada masa sama, AMK meminta masyarakat membezakan antara kuasa pengampunan dengan rekod kehakiman sesuatu kes.
Menurutnya, pengampunan bersyarat tidak mengubah penemuan mahkamah berhubung kes SRC International, termasuk isu tadbir urus, integriti dan penyelewengan dana awam yang dibicarakan dalam kes berkenaan.
AMK turut membangkitkan kesan kewangan skandal 1MDB yang menurut kenyataan itu menyebabkan kerajaan menanggung keseluruhan liabiliti dan obligasi mencecah RM51.4 bilion.
Daripada jumlah itu, kerajaan telah memperuntukkan dan melunaskan RM42.5 bilion merangkumi pembayaran prinsipal, faedah, kos guaman serta perbelanjaan berkaitan pengurusan hutang 1MDB.
“Impak bebanan hutang 1MDB yang ditinggalkan ini bukanlah sekadar angka di atas kertas, sebaliknya implikasi langsung yang terpaksa dipikul oleh rakyat yang tidak bersalah,” katanya.
AMK berkata usaha pemulihan aset turut berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion dana berkaitan 1MDB, namun kerajaan masih berdepan baki liabiliti bersih sekurang-kurangnya RM20.1 bilion.
Jumlah itu termasuk obligasi Sukuk 1MDB bernilai RM8.9 bilion yang perlu dilunaskan secara berperingkat sehingga 2039.
Menurut AMK, peruntukan untuk membayar prinsipal dan faedah hutang tersebut memberi kesan kepada ruang fiskal kerajaan kerana dana berkenaan turut boleh digunakan untuk pembangunan seperti pembinaan sekolah, peningkatan kemudahan hospital, infrastruktur luar bandar dan bantuan kebajikan.
Pendirian itu disifatkan AMK sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk terus memperjuangkan tatakelola bersih, membanteras rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum