Rafizi tak sepatutnya dedah hal dalaman kepada umum: Ketua Cabang Titiwangsa

May 21, 2025 · Politik

Rafizi Ramli tidak sepatutnya membuat pendedahan hal dalaman parti kepada umum sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi, kata Syed Badli Shah Syed Osman.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa itu berkata tidak bersetuju dengan pendekatan calon Timbalan Presiden PKR itu yang seolah-olah cuba memperlihatkan kelemahan parti dengan pelbagai cerita dalaman parti semasa kempen jelajahnya.

“Ini adalah proses pemilihan parti yang seharusnya tidak diheret orang luar mahupun orang awam untuk mengetahui segala kerumitan, hiruk-pikuk, porak-peranda yang berlaku di dalam rumah tangga parti.

“Apa yang orang awam perlu tahu adalah siapa menang, akan dipilih sebagai pimpinan; manakala siapa kalah, akan diberi peranan. Maksud saya, keputusan hasil daripada pemilihan itulah sepatutnya diketahui umum. Bukannya segala ‘ribut dalam cawan’ ditumpahkan keluar supaya seluruh dunia tahu,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook, pada Rabu.

Jelas beliau, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah melantik Rafizi memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Menteri Ekonomi dan Pengarah Pilihan Raya.

Syed Badli Shah menyifatkan kepercayaan berterusan yang diberikan Presiden PKR terhadap Rafizi membuktikan bahawa tiada sebarang usaha untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Pandan itu.

“Pada 2010, saudara Rafizi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda. Di penghujungnya, saudara Rafizi menarik diri dan tidak dicantas, malah dilantik menjadi Pengarah Strategi,” katanya.

Menurut beliau, Rafizi menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada 2014 dan kemudiannya memenangi jawatan tersebut.

“Pada 2018, saudara tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR. Walaupun pemilihan itu sengit, saudara Rafizi tidak dicantas, malah dilantik menjadi Naib Presiden. Pada 2022 pula, beliau menang jawatan Timbalan Presiden,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden bukanlah perkara baharu dalam sejarah parti, malah telah ditandingi oleh beberapa pemimpin parti sebelum ini.

“Pada peringkat awal, Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar, digantikan oleh Allahyarham Dr Syed Husin Ali. Pada 2010, Mohamed Azmin mengambil alih daripada Syed Husin.

“Pada 2014, Mohamed Azmin bertembung dengan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan pada 2018 pula Azmin bertembung dengan Rafizi bagi kerusi Timbalan Presiden,” katanya.

Tambah beliau, Rafizi kemudiannya berlawan dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti 2022 sebelum dicabar oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, pada 2025.

“Janganlah ‘kiamatkan dunia’ hanya kerana saudari Nurul Izzah mencabar saudara Rafizi. Setiap kali pemilihan memang berlaku cabaran terhadap kerusi Timbalan Presiden.

“Saya sangat yakin, berdasarkan rekod parti, pemimpin yang tewas akan dikembalikan ke dalam barisan kepimpinan kerana saudari Nurul Izzah, saudara Rafizi dan saudara Saifuddin – semuanya aset parti,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak menimbulkan persepsi bahawa terdapat usaha membunuh karakter atau menyingkirkan Rafizi daripada jawatan tersebut.

Syed Badli Shah turut yakin Rafizi akan dilantik ke satu posisi yang sesuai berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya sekiranya beliau tewas dalam pemilihan parti itu, dan bakat Nurul Izzah juga tidak akan disia-siakan.

Beliau turut menyeru beberapa pimpinan parti agar tidak membawa persepsi mengelirukan kepada orang awam, sebaliknya kekal tenang dan bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
October 10, 2026· Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
October 10, 2026· Politik
SPRM perlu teliti isu RM2.1 bilion projek jalan luar bandar: AMK
October 8, 2026· Politik
Dua pemimpin pemuda PAS, PKR selesai kes saman fitnah secara baik
October 6, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Kes DNAA Zahid: Badan Peguam tunggu keputusan rayuan 14 Jun tahun depan
1 jam lalu · Politik
AMK: GPS, GRS sanggup terima PM daripada PAS?
1 jam lalu · Politik
Mahfuz persoal Sanusi: Mana hasil projek mega Kedah?
6 jam lalu · Politik
Isu perkataan ‘lighad’: Lim Sian See dipanggil polis
6 jam lalu · Politik
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
October 10, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok