Isu surat kepada Penyimpan Mohor Besar, PKR desak Ismail beri penjelasan

October 17, 2026 · Politik

PKR Negeri Sembilan menggesa Menteri Besar, Ismail Lasim memberikan penjelasan berhubung dakwaan beliau menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi PKR Negeri Sembilan, Shariman Che Deris berkata, perkara itu perlu dijelaskan segera susulan teguran terbuka Tuanku Muhriz terhadap Ismail dalam satu rakaman video yang tular semalam.

“Dalam hal ini, Menteri Besar perlu memberikan penjelasan yang sewajarnya berkaitan perkara yang ditimbulkan oleh Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tuanku Muhriz menegur Ismail selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah, berhubung surat yang didakwa dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Baginda mendakwa surat itu menyatakan keputusan yang dibuat bersama barisan Exco negeri adalah sah dan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Selagi dia tak tarik balik apa dia kata itu, jangan jumpa saya. Go away, don’t see me, I don’t want to see you,” titah baginda dalam rakaman berkenaan.

Shariman turut meminta Ismail menjelaskan tindakannya menandatangani surat proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz serta pendirian kerajaan negeri terhadap keputusan baginda menarik balik perkenan terhadap 10 Exco terbabit.

Menurutnya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Menteri Besar mengendalikan urusan dengan institusi diraja.

“Tindakan-tindakan yang dizahirkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ini menampakkan kegagalan beliau dalam berurusan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ini adalah komunikasi pentadbiran yang sangat lemah,” katanya.

Ismail sebelum ini mengesahkan menandatangani surat proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz oleh Undang Yang Empat, namun mendakwa tindakan itu dilakukan di bawah tekanan. Beliau turut menegaskan tidak mempunyai kuasa menentukan siapa yang menduduki takhta Yang di-Pertuan Besar.

Pertikaian itu semakin meruncing selepas proklamasi berkaitan pelantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diumumkan untuk diwartakan. Tuanku Muhriz kemudian menarik balik perkenan terhadap pelantikan 10 Exco terbabit, namun mengekalkan Ismail sebagai Menteri Besar.

Exco berkenaan kemudiannya mencabar tindakan itu di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Shariman turut mengkritik penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya bermula semalam.

Beliau mendakwa penangguhan itu dibuat tanpa pemakluman sewajarnya kepada 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang diketuai Ketua Pembangkang, Arul Kumar.

Menurutnya, wakil rakyat pembangkang berkenaan sudah bersedia membawa 10 persoalan untuk dibahaskan dalam sidang berkenaan.

“DUN bukan milik mana-mana individu atau parti politik. Ia merupakan institusi demokrasi yang membawa mandat rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, PKR Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan rasmi mengenai sebab penangguhan sidang DUN, termasuk tatacara dan kaedah pemakluman kepada semua ADUN.

Shariman menegaskan kerajaan negeri perlu menghormati institusi diraja dan demokrasi melalui komunikasi bertanggungjawab serta pematuhan kepada peraturan dan perlembagaan.

“Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, bukan membiarkan persoalan berlarutan. Rakyat berhak mendapat pentadbiran yang telus, matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Berita berkaitan
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
5 jam lalu· Politik
Abu Bakar kekal MB Perlis walaupun digantung keahlian Bersatu: Laporan
17 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Zahid sahkan BN tanding 21 kerusi, DUN beri PAS tujuh
October 21, 2026· Politik
Lantik MB baharu jika kemelut Negeri Sembilan berlarutan: Peguam
October 21, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 jam lalu · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
12 jam lalu · Politik
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
13 jam lalu · Politik
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
13 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok