Rakyat Malaysia ditahan di Macau bawa heroin RM2 juta: Laporan

July 6, 2026 · Isu semasa

Seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Macau bulan lalu kerana disyaki menyeludup heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta dipercayai memperoleh dadah itu dari sebuah negara jiran sebelum menaiki penerbangan ke wilayah berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia pertengahan 20-an dari Sarawak itu tidak berlepas dari Malaysia, sebaliknya menggunakan laluan penerbangan dari negara jiran di utara.

Beliau berkata, polis menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Macau berhubung penahanan suspek pada Ahad.

“Maklumat yang kita terima menunjukkan suspek bukan berlepas dari Malaysia tetapi dari negara jiran di utara. Kita juga percaya dadah yang dibawa oleh suspek diperoleh di negara jiran,” katanya.

Menurut Hussein, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dadah negara berkenaan kerana suspek dipercayai menggunakan laluan alternatif selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyeludup dadah.

Katanya, Polis Diraja Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Kehakiman Macau melalui pertukaran maklumat risikan bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian sindiket yang terbabit.

“Siasatan bersama sedang dijalankan untuk mengenal pasti dalang dan ahli sindiket lain. Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah narkotik, iaitu membabitkan kesalahan memiliki dan menyalahgunakan dadah,” katanya.

Kes itu dilaporkan berlaku pada 20 Jun lalu apabila suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau dari rantau Asia Tenggara sebelum ditahan selepas mengambil bagasi berdaftarnya.

Pemeriksaan oleh pihak berkuasa Macau menemukan 49 kotak biskut yang dibungkus rapi dalam beg bagasi suspek. Setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin yang dilabel sebagai pes tuna.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 49 tin itu tidak mengandungi pes tuna, sebaliknya dipenuhi serbuk putih yang kemudiannya disahkan sebagai heroin.

Jumlah heroin yang dirampas dianggarkan seberat 2,987 gram dengan nilai kira-kira 4.18 juta pataca Macau, bersamaan RM2.09 juta.

Pihak berkuasa Macau dilaporkan percaya lelaki itu direkrut oleh sindiket dari Malaysia untuk mengambil dadah di sebuah negara Asia Tenggara sebelum membawanya masuk ke Macau. Dadah berkenaan dipercayai akan dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.

Suspek dikatakan dijanjikan bayaran RM3,000, atau kira-kira 6,000 pataca Macau, selepas tugasan itu selesai.

Hussein berkata, JSJN sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di Malaysia, termasuk mengenal pasti individu yang mengatur perjalanan serta pembungkusan dadah terbabit.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakyat Malaysia yang ke luar negara supaya tidak membawa bagasi atau bungkusan yang kandungannya tidak diketahui.

“Mereka perlu mengetahui sepenuhnya kandungan bagasi atau sebarang bungkusan yang dibawa bagi mengelak terperangkap dan menjadi keldai dadah kepada sindiket,” katanya.

Berita berkaitan
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
16 jam lalu· Politik
Kes dadah Jakarta: Bukit Aman diberi akses siasat juruterbang Malaysia
August 13, 2026· Isu semasa
Agong titah perketat keselamatan pintu masuk negara, siasat skandal RCI TH tanpa kompromi
August 8, 2026· Isu semasa
Kes juruterbang bawa dadah: Kerajaan arah perketat keselamatan lapangan terbang
August 5, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
8 jam lalu · Isu semasa
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
14 jam lalu · Isu semasa
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
14 jam lalu · Isu semasa
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
16 jam lalu · Isu semasa
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
7 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok