RCI Tabung Haji: Radzi jelaskan kenapa MP Bersatu kekal dalam Dewan

August 13, 2026 · Politik

Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin menjelaskan keputusan bersama Ahli Parlimen Bersatu yang lain untuk kekal dalam Dewan Rakyat ketika pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji baru-baru ini, selepas timbul persoalan mengapa mereka tidak mengikuti beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang memilih keluar dewan.

Radzi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan surat Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 30 Julai 2026, yang menjelaskan format Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

Menurutnya, surat itu menyatakan urusan mesyuarat adalah penerangan Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berhubung Laporan RCI Tabung Haji.

“Surat itu turut menyatakan Speaker Dewan Rakyat telah membenarkan Ahli-ahli Yang Berhormat meminta penjelasan dan memberikan pandangan mengenai penerangan daripada Menteri,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, atas sebab itu dakwaan format Mesyuarat Khas ditukar secara tiba-tiba kepada sesi penerangan Menteri tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu sudah dinyatakan dalam surat rasmi yang diterima lebih awal.

Bagaimanapun, Radzi berkata Bersatu berpandangan tempoh sehari yang diperuntukkan untuk membincangkan laporan RCI itu terlalu singkat.

Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen supaya tempoh persidangan dilanjutkan sekurang-kurangnya dua hari, namun permintaan itu tidak dipenuhi.

“Namun, sesi masih ditetapkan sehari tetapi waktu rehat telah ditiadakan,” katanya.

Radzi berkata, bagi Ahli Parlimen Bersatu, peluang untuk mendapatkan penjelasan dan memberikan pandangan mengenai isu Tabung Haji penting sebagai sebahagian daripada amanah mereka kepada rakyat.

Menurutnya, wakil Bersatu membuat persediaan rapi dengan membaca laporan RCI secara teliti, mengadakan perbincangan serta menyemak fakta sebelum menghadiri sesi berkenaan.

Beliau berkata, tumpuan bukan sekadar memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati terlibat, tetapi turut melihat kelemahan sistem kawal selia dana rakyat secara lebih menyeluruh.

“Perbahasan RCI Tabung Haji ini perlu menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam kawal selia semua institusi yang mengumpul dan menjaga dana rakyat,” katanya.

Radzi turut menyenaraikan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai institusi yang wajar diberikan perhatian.

Laporan RCI Tabung Haji sebelum ini mencetuskan perdebatan politik selepas ia dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan pelbagai pihak mendesak tindakan susulan terhadap kelemahan tadbir urus dan pengurusan dana institusi itu.

Berita berkaitan
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
5 jam lalu· Politik
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
23 jam lalu· Politik
Bekas menteri bakal didakwa esok berhubung RCI Tabung Haji
24 jam lalu· Politik
Syarat UMNO: Adakah PAS sanggup cerai Wawasan sama seperti Bersatu?
September 12, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
5 jam lalu · Politik
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
5 jam lalu · Politik
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
16 jam lalu · Politik
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
23 jam lalu · Politik
UMNO kekal hingga tamat penggal, PKR sambut baik: Saifuddin Nasution
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok