Kontroversi isu Tabung Haji.
Audit forensik mampu membongkar gambaran sebenar sesuatu penyata kewangan dengan meneliti proses, transaksi dan keputusan di sebalik penyediaannya, kata pakar perakaunan.
Pensyarah Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Nor Farizal Mohammed berkata, audit forensik biasanya dijalankan selepas wujud aduan, isu atau keraguan terhadap sesuatu urusan kewangan.
Menurutnya, kaedah itu lebih mendalam dan bersasar berbanding audit biasa kerana bukan hanya melihat ketepatan angka, tetapi turut meneliti bagaimana sesuatu transaksi berlaku dan pihak yang terlibat.
“Audit forensik bukan sahaja menentukan sama ada sesuatu jumlah itu betul, tetapi menjawab bagaimana transaksi dilakukan, siapa yang membuat keputusan, mengapa ia dilakukan dan siapa yang mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV yang membincangkan topik “RCI Tabung Haji: Perakaunan Kreatif vs Perakaunan Forensik”, hari ini.
Nor Farizal berkata, proses audit forensik boleh merangkumi penelitian terhadap dokumen asal, invois, e-mel, polisi, minit mesyuarat serta rekod berkaitan sesuatu transaksi.
Katanya, siasatan sedemikian boleh dijalankan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau firma profesional yang dilantik kerajaan.
“Sekiranya penyata kewangan memberikan gambaran yang tidak benar, perbuatan itu memang salah. Menunjukkan keuntungan lebih tinggi, menyembunyikan kerugian, mengiktiraf hasil terlalu awal atau tidak merekodkan penurunan nilai aset boleh dianggap sebagai manipulasi atau penipuan,” katanya.
Perbincangan mengenai audit forensik kembali menjadi perhatian susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan RCI itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu selepas kerajaan memutuskan hasil siasatan perlu diketahui rakyat. Isu berkenaan turut dibahaskan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM dilaporkan sedang mempertimbangkan khidmat pakar forensik luar negara bagi meneliti pelaburan, perjanjian, kontrak dan minit mesyuarat berkaitan TH.
SPRM juga dilaporkan sudah membuka 14 kertas siasatan dan menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan.
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum