Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar meski berdepan tekanan

March 16, 2026 · Isu semasa

Ringgit memulakan dagangan minggu ini dengan sedikit pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong kelemahan sederhana mata wang negara itu.

Bagaimanapun, sentimen pasaran masih berhati-hati susulan ketegangan geopolitik global dan harga minyak mentah yang kekal tinggi.

Pada 8 pagi Isnin, ringgit meningkat kepada 3.9300/9455 berbanding dolar AS daripada 3.9365/9410 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pergerakan mata wang tempatan masih dipengaruhi perkembangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan perdagangan komoditi global.

“Jika diperhatikan, tiada tanda konflik melibatkan Iran akan mereda dalam masa terdekat. Kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan di Selat Hormuz serta potensi kerosakan kemudahan minyak dan gas di rantau Teluk boleh memberi kesan besar kepada aliran perdagangan minyak,” katanya dalam laporan Bernama.

Menurut beliau, harga minyak mentah Brent yang kekal melebihi paras AS$100 setong juga menambah ketidaktentuan pasaran global, sekali gus menyebabkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati.

Mohd Afzanizam turut berkata landskap geopolitik semasa menunjukkan perubahan yang semakin kompleks.

“Kewujudan pangkalan tentera AS di Asia Barat tidak semestinya menjamin kestabilan sepenuhnya di rantau itu,” katanya.

Beliau turut mengulas laporan yang menyebut Iran mungkin membenarkan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz sekiranya transaksi dilakukan menggunakan yuan China.

Menurutnya, perkembangan itu boleh memberi kesan besar kepada sistem kewangan global.

“Situasi ini menunjukkan proses ‘dedollarisation’ semakin berkait rapat dengan geopolitik. Bahagian dolar AS dalam rizab pertukaran asing global juga telah menurun daripada 71.1 peratus pada suku pertama 1999 kepada 56.9 peratus pada suku ketiga 2025,” katanya.

Pada masa sama, pelabur kini memberi perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 hingga 18 Mac yang dijangka mengumumkan unjuran ekonomi terbaharu Amerika Syarikat.

“Kakitangan Rizab Persekutuan sebelum ini mengunjurkan inflasi Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi akan turun kepada 2.4 peratus pada 2026 berbanding 2.6 peratus dalam unjuran sebelumnya,” katanya.

Beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat sempit antara RM3.92 hingga RM3.95 berbanding dolar AS hari ini.

Pada pembukaan dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding beberapa mata wang utama termasuk yen Jepun, pound Britain dan euro.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN seperti dolar Singapura, baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina.

Berita berkaitan
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
8 jam lalu· Isu semasa
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
November 23, 2026· Isu semasa
Anwar pertahan sokongan kepada Xi meskipun berdepan tekanan
November 20, 2026· Isu semasa
Malaysia teguh pendirian sokong perdagangan terbuka: Anwar
November 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
7 jam lalu · Isu semasa
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
7 jam lalu · Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
8 jam lalu · Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
8 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
7 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok