Ringgit kekal kukuh, antara mata wang terbaik Asia: Amir Hamzah

19 jam lalu · Isu semasa

Ringgit terus mencatat prestasi memberangsangkan dan kekal sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun ini, disokong oleh aliran masuk pelaburan yang kukuh serta asas ekonomi negara yang stabil meskipun ketidaktentuan global semakin meningkat.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, mata wang tempatan terus menunjukkan peningkatan positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang 2026, selain mencatat prestasi yang lebih baik berbanding beberapa mata wang utama di rantau ini.

“Ringgit masih menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Setakat ini bagi tahun ini, ringgit kekal mencatatkan peningkatan positif berbanding dolar AS.

“Lebih penting bagi ringgit bukan hanya prestasinya berbanding dolar AS malah pergerakannya berbanding mata wang lain di dunia. Kita jauh lebih baik daripada banyak negara lain di seluruh dunia,” katanya semasa sesi di Invest Malaysia 2026 hari ini.

Menurut beliau, kekuatan ringgit banyak dipengaruhi oleh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia yang diterjemahkan melalui peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Katanya, Malaysia mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dari segi pelaburan diluluskan dan berada di landasan yang tepat untuk mengekalkan momentum tersebut.

“Malaysia telah mencapai paras tertinggi dari segi pelaburan diluluskan yang masuk. MIDA telah mengeluarkan angka bagi suku pertama semalam, dan kita berada di landasan untuk melaksanakannya.

“Enjin FDI berfungsi dengan sangat baik dalam menarik pelaburan dan menyediakan sokongan kepada ringgit bagi tempoh yang seterusnya,” katanya.

Amir Hamzah berkata, pelaburan domestik juga memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah DDI ketika ini sedikit mengatasi FDI.

“Sebenarnya, DDI adalah lebih besar sedikit berbanding FDI. Jadi, pelabur dalam negara juga menggandakan pertumbuhan kerana mengenal pasti segmen yang ingin dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar pelaburan yang diterima kini tertumpu kepada sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, pusat data serta kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan ekonomi negara.

“Selagi enjin-enjin ini terus bergerak, asas ekonomi masih memberikan sokongan permintaan kepada ringgit,” katanya.

Mengenai prospek pasaran mata wang global, Amir Hamzah mengakui faktor luaran masih berpotensi menyebabkan turun naik ketara dalam kadar pertukaran asing, namun kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi domestik.

“Adakah akan ada turun naik ketara? Ya, sudah tentu akan ada turun naik namun, yang lebih penting ialah memastikan asas ekonomi terus berfungsi dalam bentuk yang betul, dan itulah yang sedang kita lakukan pada ketika ini,” katanya.

Kebelakangan ini, kerajaan memberi penekanan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri teknologi tinggi dan ekonomi digital.

Prestasi ringgit yang lebih stabil turut dilihat sebagai petunjuk keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Berita berkaitan
Bekalan minyak negara masih stabil: Amir Hamzah
June 6, 2026· Isu semasa
Institusi tempatan dominasi pembelian saham, kekalkan momentum positif
May 25, 2026· Isu semasa
Ringgit dibuka kukuh, sentimen pasaran global makin positif
May 25, 2026· Isu semasa
Malaysia cipta rekod RM1 trilion dagangan untuk empat bulan pertama
May 21, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Malaysia teroka sumber minyak baharu, utamakan kesesuaian fasiliti tempatan
4 jam lalu · Isu semasa
Malaysia tegas pertahan perdagangan bebas: PMX
4 jam lalu · Isu semasa
Kes aduan Albert Tei terhadap Azam ditutup, tiada tindakan lanjut: AGC
7 jam lalu · Isu semasa
Dunia perlukan hala tuju jelas, bukan sekadar kuasa: PMX
7 jam lalu · Isu semasa
Rosmah diarah bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas lubnan: Laporan
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok