RM10 juta dana tambahan diumum Anwar, bantu pemandu teksi miliki Proton S70

July 3, 2026 · Isu semasa

Kerajaan memperuntukkan tambahan RM10 juta bagi memperkukuh industri teksi negara, termasuk membantu lebih ramai pemandu memiliki Proton S70 sebagai kenderaan teksi baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan industri teksi yang berdepan pelbagai cabaran, khususnya persaingan sengit daripada perkhidmatan e-hailing dan perubahan teknologi digital.

Beliau berkata, bantuan itu bukan sekadar melibatkan pemilikan kenderaan, malah merangkumi kerjasama untuk mengurangkan kos pembaikan, penyelenggaraan, perkhidmatan serta pinjaman yang selama ini menjadi beban kepada pemandu teksi.

“Tambahan kerjasama dengan mengurangkan kos pembaikan dan penyelenggaraan, perkhidmatan dan lain-lain serta kos pinjaman, kita jangka ia boleh menambah pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000,” katanya pada pelancaran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; serta Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Syed Faisal Albar.

Program pembaharuan itu dilihat sebagai langkah kerajaan untuk mengembalikan daya saing industri teksi tempatan yang sebelum ini berdepan isu kos operasi tinggi, keadaan kenderaan yang semakin uzur serta perubahan corak penggunaan pengangkutan awam oleh orang ramai.

Anwar turut berkata kerajaan akan mengekalkan dasar permit teksi diberikan terus kepada pemandu, bukan kepada pihak tertentu yang kemudiannya menyewakan permit berkenaan kepada golongan yang bekerja di jalan raya.

“Permit itu kekal di bawah nama pemandu teksi dan tidak dipindahkan kepada orang yang mempunyai wang. Ini keputusan dasar penting bagi menjaga kepentingan dalam kalangan pemandu,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi menghentikan amalan lama yang menyebabkan sebahagian pemandu terpaksa menanggung kos sewaan permit selain perbelanjaan harian untuk minyak, penyelenggaraan dan bayaran pinjaman.

Selain itu, beliau juga mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan latihan penggunaan aplikasi serta teknologi digital kepada pemandu yang menerima Proton S70 menerusi program berkenaan.

“Setiap pemandu teksi yang dapat Proton S70 ini mesti diberikan program latihan dan saya percaya pegawai-pegawai ini boleh turun bantu,” katanya.

Anwar berkata, penguasaan teknologi perlu diberi perhatian supaya pemandu teksi tidak terus ketinggalan dalam persaingan dengan platform e-hailing yang kini menjadi pilihan ramai pengguna.

Beliau juga mengingatkan pemandu teksi mereka memainkan peranan penting sebagai antara wajah awal Malaysia kepada pelancong yang tiba di negara ini.

“Pemandu teksi adalah duta pelancongan negara. Mereka perlu terus mesra, sopan dan membantu kerana pengalaman pertama pelancong banyak bergantung kepada layanan yang diterima,” katanya.

Berita berkaitan
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026· Isu semasa
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
September 20, 2026· Politik
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
September 20, 2026· Politik
Pengampunan Najib: PH tegaskan tiada siapa mengatasi undang-undang
September 18, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
7 jam lalu · Isu semasa
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
7 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
7 jam lalu · Isu semasa
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
10 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
September 20, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok