Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Sebanyak 42 permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada syarikat produksi Sabah dan Sarawak bernilai RM7.43 juta telah diluluskan sejak 2022 hingga Julai ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata permohonan DKK yang diluluskan itu melibatkan pelbagai kategori termasuk filem cereka, filem pendek, dokumentari, pemasaran, skrip dan pascaproduksi serta mewujudkan lebih 1,245 peluang pekerjaan.
“Sehingga bulan ini juga, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menerima 36 permohonan Dana Program TV (Borneo) dan 24 permohonan Dana Pasca Produksi. Semua permohonan dinilai secara telus dan berintegriti oleh jawatankuasa yang terdiri daripada panel profesional, serta wakil kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima DKK Kepada Penggiat Industri Kreatif Sabah malam tadi, yang dihadiri Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Nizam Abu Bakar Titingan yang mewakili Ketua Menteri Hajiji Noor.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi FINAS Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata menerusi DKK itu, sebanyak 14 syarikat produksi tempatan telah ditawarkan Dana Program TV (Borneo) dengan enam daripadanya dari Sabah.
Beliau berkata syarikat Sabah itu menerima kelulusan melibatkan nilai RM1.15 juta dan bakal menjana lebih 200 pekerjaan baharu.
“Bagi Dana Pasca Produksi, tawaran diberikan kepada sembilan syarikat dengan satu daripadanya merupakan syarikat produksi Sabah … bagi Sabah, satu projek telah diluluskan dengan nilai hampir RM240,000, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pascapenggambaran,” katanya.
Justeru, beliau berkata tujuh syarikat dari Sabah itu menerima kelulusan berjumlah RM1.39 juta daripada Dana Program TV (Borneo) dan Dana Pasca Produksi itu.
Fahmi berkata pelbagai kisah kejayaan telah dilahirkan menerusi galakan dana dan insentif kerajaan termasuk filem Blood Brothers: Bara Naga dengan kutipan RM73.6 juta, Bleat! yang mengharumkan nama negara di Cannes, dan terkini Ejen Ali The Movie 2 yang membuka tirai tayangan di Indonesia dengan jumlah penonton mencecah 200,000 orang dalam minggu pertama.
Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melalui FINAS telah bersetuju untuk melaksanakan kerjasama dengan Borneo TV menerusi Dana Program TV (Borneo) dan kandungan yang dihasilkan oleh penerima Dana Program TV (Borneo) akan turut disiarkan di platform Borneo TV.
Dalam pada itu, Hajiji dalam teks ucapannya yang dibacakan Nizam berkata DKK itu telah membuka ruang luas kepada rakyat Sabah untuk mengetengahkan kisah, budaya dan warisan mereka melalui pelbagai medium seperti filem, dokumentari dan program televisyen.
“Sabah memiliki kepelbagaian sosiobudaya yang luar biasa – dengan lebih 30 etnik dan lebih 200 subetnik. Perkara ini menjadikan Sabah antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif, yang wajar diberi perhatian sebagai sumber kandungan autentik,” katanya.
Beliau berkata keindahan semula jadi Sabah sama ada di darat, laut, atau pergunungan memberikan kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang mampu menarik perhatian penonton tempatan dan antarabangsa. – Bernama
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan