Dr Dzulkefly Ahmad.
Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan yang dijangka siap pada 2027 sebelum dibentangkan di Parlimen, sebagai langkah memperkukuh budaya pemakanan sihat dan menangani masalah kesihatan berkaitan pemakanan dalam kalangan rakyat.
Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, RUU berkenaan akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk kawalan pemasaran makanan tidak sihat, perlindungan pemakanan bayi dan kanak-kanak serta pelaksanaan amalan pemakanan sihat di institusi.
Menurutnya, penggubalan undang-undang itu bertujuan meningkatkan literasi kesihatan dan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan rakyat membuat pilihan makanan lebih sihat.
Katanya, cadangan penggubalan RUU berkenaan dimulakan sejak 2022 dan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2024, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan input awal berhubung cadangan penggubalan RUU ini,” katanya menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat berhubung garis masa penggubalan RUU Pemakanan, objektif, skop utama, kos pelaksanaan serta mekanisme penglibatan pihak berkepentingan.
Dzulkefly berkata, bagi tempoh 2025 hingga 2026, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada pemantapan skop RUU, pelaksanaan Analisis Impak Peraturan (RIA), konsultasi teknikal dan pembangunan kerangka perundangan.
Beliau menjelaskan RUU Pemakanan itu akan melengkapi Akta Makanan 1983 yang ketika ini mengawal selia aspek keselamatan, kualiti, komposisi dan pelabelan produk makanan.
Menurutnya, anggaran kos keseluruhan pelaksanaan undang-undang berkenaan hanya akan ditentukan selepas mengambil kira hasil RIA serta keperluan pelaksanaannya.
Dalam proses penggubalan itu, KKM turut mengadakan sesi konsultasi dan libat urus dengan agensi kerajaan, pakar kesihatan, ahli akademik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna serta masyarakat umum.
“Pandangan yang diterima akan diambil kira dalam penggubalan RUU bagi memastikan perundangan yang dicadangkan memenuhi keperluan kesihatan awam dan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Penggubalan RUU Pemakanan dilihat sebagai antara usaha kerajaan memperkukuh pendekatan pencegahan penyakit melalui perubahan tabiat pemakanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang terdedah kepada pengaruh pemasaran makanan dan minuman kurang berkhasiat.
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis