RUU Perolehan Kerajaan diluluskan di Dewan Rakyat, pembangkang tak cukup undi

August 28, 2025 · Isu semasa

Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas melalui proses undian.

Undian tersebut menyaksikan sebanyak 125 Ahli Parlimen menyokong kelulusan rang undang-undang itu, manakala 63 orang menolak, sementara seorang ahli tidak mengundi dan 32 orang lagi tidak hadir.

Kelulusan itu diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, yang menolak permohonan pembangkang untuk menangguhkan bacaan kali kedua RUU tersebut.

Pembangkang sebelum ini meminta RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) terlebih dahulu, dengan alasan ia dibentangkan pada saat akhir.

Namun, Johari menegaskan bahawa tiada permohonan rasmi daripada JPKP untuk meneliti RUU itu selepas bacaan kali pertama, justeru permohonan penangguhan itu tidak boleh diterima.

RUU ini telah dibentangkan dan dibahaskan secara terperinci oleh 21 Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Semasa perbahasan, beberapa ahli pembangkang membangkitkan kebimbangan mengenai peruntukan tertentu dalam RUU yang didakwa memberi lebih kuasa kepada Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, ketika menggulung perbahasan, menafikan dakwaan RUU ini dibentangkan secara tergesa-gesa.

“RUU ini kita mula usaha (gubal) dari 2018. Ini bukan perubahan yang mendadak. Ia sudah mengambil kira libat urus yang diadakan (termasuk) untuk menerima cadangan.

“Ada penambahbaikan yang kita buat hasil dari libat urus ini. Sebab libat urus itu sudah lebar (luas), (maka libat urus dengan) Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) tak wajib, sebab kita sudah buat libat urus,” katanya.

Beliau menjelaskan proses penggubalan RUU ini telah bermula sejak tahun 2018 lagi dan telah melalui proses perundingan yang melibatkan pelbagai pihak.

Amir Hamzah menekankan RUU ini mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal yang bertujuan untuk memastikan akauntabiliti dalam perolehan kerajaan.

Antara matlamat utama RUU ini adalah untuk membanteras amalan rasuah dan pembaziran wang rakyat, serta mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

RUU ini juga mewajibkan penubuhan Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan.

Dengan kelulusan ini, RUU Perolehan Kerajaan 2025 kini akan dibawa ke Dewan Negara untuk peringkat seterusnya.

Berita berkaitan
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
15 jam lalu· Isu semasa
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
16 jam lalu· Politik
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
19 jam lalu· Politik
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
September 20, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
9 jam lalu · Isu semasa
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
17 jam lalu · Isu semasa
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
18 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
18 jam lalu · Isu semasa
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
September 21, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok