Perbicaraan kes rasuah terowong bawah tanah membabitkan Lim Guan Eng.
Seorang saksi pendakwaan dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini beliau bertindak mematuhi arahan langsung Lim Guan Eng untuk menubuhkan syarikat dan membuka akaun bank khas.
Ahli perniagaan G Gnanaraja, 44, yang merupakan saksi pendakwaan ke-37, membuat pengakuan tersebut ketika disoal oleh peguam Guan Eng, Ramkarpal Singh semasa perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Bagi saya ketika itu, saya sedang berkhidmat untuk Ketua Menteri (Guan Eng). Jadi saya perlu laksanakan untuk beliau,” jelas Gnanaraja ketika ditanya mengapa beliau membenarkan syarikat miliknya, Bumi Muhibah Capital Sdn Bhd, digunakan untuk urusan berkaitan projek tersebut.
Gnanaraja mendedahkan hanya bertemu dengan Guan Eng sebanyak dua kali pada tahun 2017 dan semasa pertemuan tersebut diminta secara peribadi untuk menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank khusus bagi menerima bayaran berkaitan projek terowong dasar laut.
Bagaimanapun, timbul percanggahan apabila Ramkarpal mendedahkan syarikat Bumi Muhibah sebenarnya telah ditubuhkan lebih awal pada tahun 2016, manakala arahan untuk membuka akaun bank hanya diberikan pada 20 Ogos 2017.
“Kamu katakan di mahkamah, YB Lim Guan Eng ada minta kamu untuk menyediakan syarikat dan akaun bank. Ini adalah pembohongan kerana syarikat itu ditubuhkan lebih awal,” tegas Ramkarpal.
Gnanaraja bagaimanapun menegaskan tidak menipu dalam keterangannya.
Guan Eng menghadapi empat pertuduhan termasuk dakwaan menggunakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.
Beliau juga didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan projek sebagai balasan melantik syarikat Zarul Ahmad untuk melaksanakan projek bernilai RM6.34 bilion itu.
Selain itu, Guan Eng turut dituduh menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju yang terlibat dalam projek terowong dasar laut.
Perbicaraan kes ini akan bersambung semula pada 14 Oktober depan.
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
Kerjasama PH-BN mesti atas dasar hormat, bukan untung sebelah pihak: AMK
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri