Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi Md Nor mengajak akar umbi UMNO, khususnya golongan muda supaya bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi memperkukuhkan kuasa politik Islam dan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menteri Besar Kedah itu berkata, landskap politik negara memerlukan kepimpinan Melayu-Islam yang kukuh demi memastikan kestabilan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum terus terpelihara.
“Rakan-rakan dalam UMNO, marilah bersama kami. Kita nak kuatkan orang Melayu dan pegang kuasa bersungguh-sungguh.
“Negara ini siasah politiknya mesti dikawal oleh orang Islam Melayu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap.
Menurut Sanusi, pengalaman kerjasama antara PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini membuktikan kedua-dua parti mampu menyatukan orang Melayu dan Islam di peringkat akar umbi.
Katanya, suasana ketika itu masih diingati ahli kedua-dua parti kerana wujud semangat perjuangan dan pengorbanan dalam kalangan penyokong.
“Kita tak pernah lupa saat manis bersama UMNO di bawah Muafakat Nasional. Ahli PAS dan UMNO duduk bersama, bekerjasama dan belajar berjuang bukan kerana habuan,” katanya.
MN yang ditubuhkan pada 2019 pernah dilihat sebagai platform penyatuan politik Melayu selepas PAS dan UMNO bergabung menghadapi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dan beberapa siri pilihan raya lain.
Namun kerjasama itu berakhir apabila UMNO mengambil keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan selepas PRU-15.
Sanusi turut mendakwa UMNO berubah arah selepas bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam kerajaan sedia ada.
Beliau mendakwa keputusan itu dibuat demi kepentingan politik tertentu dan bukan lagi berasaskan agenda penyatuan Melayu-Islam.
Pada masa sama, beliau mempertahankan pentadbiran PN di Kedah dan menyifatkan kerajaan negeri ketika ini lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.
“Mereka nak ambil alih Kedah, tetapi kalau nak lawan kita, buatlah kerja elok-elok. Hakikatnya kita buat lebih baik daripada masa mereka memerintah dahulu,” katanya.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya