Sekatan terhadap aplikasi Grok kekal sehingga isu kandungan diselesaikan

January 15, 2026 · Isu semasa

Sekatan sementara terhadap fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X hanya akan ditarik balik apabila isu penghasilan kandungan mudarat dapat diselesaikan sepenuhnya, kata Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, pihak X perlu membuktikan bahawa kandungan berbentuk video atau imej yang boleh disalahgunakan tidak lagi dihasilkan sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk menghapuskan sekatan itu.

“Sekiranya mereka berjaya menyahaktifkan dan tidak membolehkan penghasilan bahan-bahan yang dianggap ‘online harm’ atau mudarat, kerajaan akan menghentikan sekatan sementara ke atas Grok.

“Kita ingin pastikan platform media sosial ini lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT) di Kuala Lumpur hari ini.

Sekatan itu diumumkan pada 11 Januari lepas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan penyalahgunaan Grok untuk menjana kandungan lucah dan eksplisit, termasuk imej manipulasi tanpa persetujuan membabitkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC sebelum ini telah mengeluarkan notis kawal selia kepada X Corp dan xAI LLC, namun penyalahgunaan berterusan mendorong tindakan sekatan sementara.

Fahmi memaklumkan aplikasi X telah menyahaktifkan beberapa fungsi yang membolehkan penghasilan imej tidak sesuai, tetapi langkah itu masih belum mencukupi.

Kerajaan memilih pendekatan kerjasama melalui jalur perundangan dan kawal selia, selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang akan dipantau oleh Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian.

Jawatankuasa itu merangkumi Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Polis Diraja Malaysia dan wakil agensi berkaitan, bertujuan menasihati kerajaan dalam isu keselamatan digital.

“Proses ini lebih positif kerana kita tidak menyekat sepenuhnya platform media sosial, sebaliknya memastikan ia tidak disalahgunakan untuk tujuan jenayah,” tambah Fahmi.

Beliau turut menekankan kebimbangan terhadap penggunaan Grok bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia dan beberapa negara Eropah.

“Apabila banyak negara menyuarakan pendirian yang sama, pastinya ada sesuatu yang X perlu perhatikan,” katanya.

 

Berita berkaitan
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
5 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
6 jam lalu· Isu semasa
MCMC perkukuh pertahanan siber, jalin kerjasama dengan NACSA
8 jam lalu· Isu semasa
MCMC saman Google RM600 juta isu kandungan berbahaya di YouTube
8 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
3 jam lalu · Isu semasa
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
3 jam lalu · Isu semasa
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
8 jam lalu · Isu semasa
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
8 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
22 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok