Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan berdiam diri dalam isu penghinaan agama melibatkan tindakan memijak al-Quran adalah tidak berasas.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan dipandu emosi atau tekanan awam.
“Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar menegaskan Malaysia sebagai negara berdaulat yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang perlu memastikan setiap tindakan diambil berlandaskan proses perundangan yang adil dan telus.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan tanpa mencetuskan spekulasi yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.
Kes berkenaan mendapat perhatian meluas selepas media melaporkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah direman bagi membantu siasatan kerana didakwa menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, memaklumkan kertas siasatan telah dilengkapkan, manakala Ketua Polis Daerah Kuantan Ashari Abu Samah berkata tempoh reman lelaki berusia 21 tahun itu disambung hingga 3 Mac atas arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan beberapa tindakan lanjut.
Isu penghinaan agama bukan perkara baharu dalam landskap global mahupun tempatan.
Pada Januari 2023, Anwar menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan membakar atau mencemarkan kitab suci mana-mana agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu.
Ketika itu, beliau turut mengutuk tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan, yang membakar naskhah al-Quran di Sweden.
Sebagai respons, Malaysia menggerakkan inisiatif mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai simbol solidariti dan mesej bahawa penghormatan terhadap agama perlu dipertahankan.
Anwar sekali lagi mengingatkan dalam menangani isu sensitif berkaitan agama, semua pihak perlu bertindak secara matang dan berhemah demi memastikan keamanan serta perpaduan negara terus terpelihara.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib