Sidang Dewan Rakyat.
Sidang Parlimen kembali bersidang Isnin ini apabila Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 membuka tirai dengan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka menjadi tumpuan utama negara.
Seri Paduka Baginda akan menyampaikan Titah Diraja bagi merasmikan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang lazimnya menggariskan hala tuju pentadbiran negara, keutamaan kerajaan serta cabaran semasa.
Titah kali ini dilihat signifikan kerana ia berlangsung seiring permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang memberi fokus kepada pembangunan mampan, pengukuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Istiadat pembukaan dijadual bermula jam 10 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan serta platform digital rasmi.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong dijangka berangkat ke Dataran Parlimen bagi menerima Sembah Hormat Diraja oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri serta ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat bersejarah itu.
Mengulas kepentingan persidangan kali ini, Anwar sebelum ini menegaskan Parlimen menjadi medan utama untuk mengangkat agenda reformasi institusi.
“Kerajaan komited melaksanakan perubahan yang memperkukuh demokrasi dan tadbir urus negara,” katanya.
Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari.
Ia dimulakan dengan pembentangan dan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab menteri dan perbahasan dasar. Pembentangan rang undang-undang pula dijadual pada hari-hari terakhir persidangan.
Antara RUU yang dijangka mencuri perhatian ialah cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun, selain RUU pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
Turut disenaraikan ialah RUU Ombudsman 2025 dan Akta Kebebasan Maklumat, yang dilihat sebagai langkah penting ke arah ketelusan.
Persidangan Dewan Negara pula akan bermula pada 23 Februari dan berlangsung selama 13 hari.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
Onn Hafiz dan Loke bertemu selepas perang mulut politik
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar