Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS 999).
Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS 999) dilaporkan beroperasi dengan lancar sejak mula berfungsi sepenuhnya pada 16 November lepas.
Sebagai teras perkhidmatan kecemasan negara, sistem tersebut mencatat prestasi memberangsangkan dengan lebih 95 peratus panggilan berjaya diproses dalam tempoh lapan saat.
Sehingga tengah hari ini, sistem itu telah menerima 323,957 panggilan yang dikendalikan oleh 170 pegawai kecemasan profesional di 1,302 stesen kerja di seluruh negara.
“Pusat Sokongan Teknikal 24 jam juga tersedia di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan apabila diperlukan,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan.
Sistem bernilai RM113 juta setahun ini melibatkan lima agensi utama – Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagi memastikan kelancaran berterusan, sebuah Jawatankuasa Khas Bersama telah ditubuhkan melibatkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan.
Jawatankuasa ini akan memantau semua isu teknikal dan koordinasi antara agensi tindak balas kecemasan.
“Jawatankuasa ini akan memastikan penyampaian perkhidmatan kecemasan kekal lancar dan selamat, termasuk tindakan segera bagi penambahbaikan sistem dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu lagi.
Sistem NG MERS 999 yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad ini merupakan pembaharuan kepada sistem MERS 999 yang mula digunakan pada 2007.
Sistem baru ini menawarkan rangkaian komunikasi yang lebih pantas, tepat dan moden bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan negara.
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum