Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan.
Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perlis diminta memulangkan segera semua aset kerajaan negeri yang digunakan selepas keahlian mereka terhenti serta-merta, sekali gus menyebabkan jawatan sebagai wakil rakyat gugur secara automatik.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, berkata pihak DUN akan memaklumkan secara rasmi berkaitan proses pemulangan aset yang digunakan oleh ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim.
Menurutnya, kedudukan mereka sebagai wakil rakyat berakhir tanpa sebarang tindakan pemecatan.
“Secara automatik jawatan itu gugur. Kita bukan memecat, tetapi pemberhentian berlaku serta-merta. Semua jawatan yang dipegang termasuk sebagai wakil rakyat, dan aset kerajaan negeri yang digunakan perlu dipulangkan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Mohd Ridzuan sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis dan dengan terhentinya keahlian beliau, semua jawatan berkaitan turut terbatal.
Terdahulu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji. Beliau menjelaskan kekosongan itu adalah selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Isu ini tercetus selepas media melaporkan beberapa ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bagi menyatakan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Susulan perkembangan tersebut, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan media memaklumkan keahlian tiga ADUN berkenaan terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, PN memenangi 14 kerusi DUN Perlis, terdiri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu, manakala satu kerusi dimenangi PKR di Indera Kayangan.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
BN hampir selesai rundingan kerusi, fokus kempen berteraskan dasar: Asyraf Wajdi
PAS cadang perpaduan Melayu, tetapi tak mahu Hamzah dalam parti
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar