Kajian Semula Persempadanan Pilihan Raya di Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada fasa penyediaan syor bagi Kajian Semula Persempadanan Pilihan Raya di Sarawak, susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menambah jumlah kerusi negeri kepada 99.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata proses itu adalah langkah penting yang perlu dipenuhi mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kelulusan RUU Komposisi Keanggotaan DUN Sarawak pada 7 Julai lalu yang menambah 17 kerusi baharu, SPR kini akan memulakan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak buat kali ketujuh,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Menurutnya, SPR diberikan ruang masa sehingga dua tahun untuk menyiapkan keseluruhan proses kajian, bermula daripada tarikh notis diterbitkan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 4, Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan, sehingga laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri.
Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, yang meminta penjelasan mengenai status semasa dan garis masa kajian persempadanan tersebut.
Beliau menjelaskan garis waktu ini selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan kajian persempadanan hanya boleh dibuat selepas tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun daripada proses terakhir diselesaikan.
“Tempoh kajian sebelum ini bagi Sarawak tamat pada 21 Ogos 2023, jadi sekarang memang masa yang tepat untuk SPR bergerak semula,” katanya.
Azalina berkata kerajaan mahu proses ini berjalan teratur dan telus bagi memastikan setiap kawasan pilihan raya mencerminkan keperluan semasa penduduk.
“Persempadanan yang kemas akan memudahkan urusan pilihan raya dan memastikan suara rakyat diwakili dengan lebih adil,” tambahnya.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri