Kes rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang tokoh perniagaan berusia lingkungan 60-an yang disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan melibatkan kerugian lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan lelaki berkenaan yang juga pemilik sebuah syarikat swasta serta dikenali sebagai individu berpengaruh dalam kewangan Islam, ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
Menurutnya, mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Suspek dipercayai terbabit dalam skim pelaburan berskala besar yang menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur. Namun, siasatan awal mendapati ramai pelabur dari seluruh negara mengalami kerugian besar,” katanya ketika ditemui pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut menahan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin.
Wanita itu disyaki memainkan peranan penting dalam operasi skim berkenaan dan kini membantu siasatan.
Azam berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM300 juta, menjadikannya antara kes penipuan pelaburan terbesar yang disiasat sejak kebelakangan ini.
“Kita percaya kegiatan ini telah berjalan sekurang-kurangnya dua tahun dan melibatkan pelabur daripada pelbagai latar belakang,” ujarnya.
Kes ini menambah senarai panjang skim pelaburan bermasalah yang semakin rancak sejak beberapa tahun lalu, khususnya yang menggunakan naratif patuh syariah dan rangkaian individu berprofil tinggi untuk meraih kepercayaan orang ramai.
Sehubungan itu, Azam mengingatkan masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pulangan luar biasa.
“Jika sesuatu pelaburan kedengaran terlalu indah untuk jadi kenyataan, selalunya memang begitu. Buat semakan dan jangan ikut emosi,” katanya.
SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan tegas demi melindungi kepentingan pelabur serta mengekang jenayah kewangan daripada terus berleluasa.
MCMC siasat hantaran 3R hina Tuanku Muhriz
Isu eFishery: KWAP masih kukuh, Tengku Zafrul sifatkan dakwaan bankrap sebagai ‘auta’
NADI sasar jadi pusat lahirkan pakar AI luar bandar: MCMC
Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi
eFishery: Keputusan pelaburan KWAP dibuat panel profesional
[VIDEO] Aminuddin akui laluan tak mudah, sanggup berlari untuk tawan DUN Linggi, kubu kuat BN
[VIDEO] Hari penamaan calon PRN N9 di Linggi, Lukut, Chuah, Sri Tanjung dan Bagan Pinang