SPRM tak berganjak dengan tindakan sita harta keluarga Daim: Azam

May 28, 2025 · Isu semasa

Keputusan untuk mengambil tindakan pelucutan sebahagian hak pemilikan harta milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga bekas Menteri Kewangan itu akan tetap diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata setakat ini keputusan untuk menyita harta tak diisytihar masih akan diteruskan dan berkemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.

“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang, bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM berkemungkinan akan menambah jumlah lapan kertas siasatan sedia ada.

“Jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya (untuk dilucutkan hak). Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan.

“Setakat ini, ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya…ia mungkin bertambah…mungkin selepas ini,” katanya.

Dalam sidang akhbar minggu lalu, Azam mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Allahyarham Daim dan keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Beliau berkata, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.

Harta itu, katanya, membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi kepada Allahyarham Daim yang juga bekas pemimpin Umno.

Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.

Ia, katanya, kerana Allahyarham Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

Berita berkaitan
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
3 jam lalu· Politik
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026· Isu semasa
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
September 20, 2026· Politik
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
September 20, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
September 22, 2026 · Isu semasa
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
2 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
3 jam lalu · Isu semasa
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
21 jam lalu · Isu semasa
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok