Kes mahkamah.
Seorang lelaki yang juga suami kepada seorang pelakon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dua pertuduhan penipuan berkaitan urusan mendapatkan tanah kurniaan negeri dan gelaran kebesaran yang didakwa tidak wujud.
Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam di Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa supaya membuat bayaran berjumlah RM270,811 melalui transaksi dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Wang itu kononnya bagi menguruskan tanah kurniaan negeri Selangor yang sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2 April hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, Mohd Apri Hazreen turut berdepan satu lagi pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya supaya membayar RM23,120 bagi mendapatkan darjah kebesaran yang kononnya membawa gelaran “Datuk”.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 22 Januari hingga 9 November 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan RM50,000. Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah lebih rendah atas alasan masalah kesihatan dan tanggungan keluarga.
“Saya menghidap sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan gout. Saya juga mempunyai sembilan anak untuk ditanggung selain isteri yang tidak bekerja serta ibu yang perlu dijaga,” katanya di mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isterinya, selain menetapkan syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan RM7,000 sebelum Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan semula pada hari yang sama.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan