Kementerian Kewangan (MOF).
Langkah kerajaan beralih daripada subsidi petrol RON95 secara pukal kepada subsidi bersasar dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan negara antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, selain mengurangkan ketirisan yang selama ini menjadi isu utama dalam sistem subsidi bahan api.
Kementerian Kewangan memaklumkan penjimatan itu akan dicapai menerusi pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), iaitu mekanisme baharu yang memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Namun, kementerian menjelaskan jumlah penjimatan sebenar masih bergantung kepada faktor luaran seperti harga minyak mentah dunia dan pergerakan kadar pertukaran mata wang.
“Penjimatan ini bukan kerana kerajaan mengurangkan perlindungan kepada rakyat, sebaliknya hasil penyasaran subsidi yang lebih tepat dan berkesan,” menurut kenyataan kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Penjelasan tersebut diberikan susulan pertanyaan berhubung jumlah subsidi RON95 selepas langkah rasionalisasi dilaksanakan serta anggaran penjimatan yang boleh dicapai.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perancangan untuk merombak sistem subsidi bahan api sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan fiskal, bagi mengawal beban kewangan negara yang semakin meningkat.
Dari segi penentuan harga, Kementerian Kewangan menegaskan harga runcit petrol RON95 masih ditentukan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).
Mekanisme itu mengambil kira harga minyak mentah global, kos penapisan, kos pengedaran dan kadar pertukaran mata wang, sama seperti sebelum ini.
Menurut kementerian, pelaksanaan BUDI95 tidak mengubah APM, sebaliknya menambah baik kaedah pengagihan subsidi yang terhasil daripada mekanisme tersebut.
“Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan perbelanjaan subsidi dengan lebih berkesan, terutamanya ketika harga minyak mentah dunia menunjukkan trend peningkatan,” katanya.
Untuk rekod, subsidi bahan api merupakan antara komponen perbelanjaan terbesar kerajaan sejak bertahun-tahun, dan rasionalisasi ini dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan kewangan negara kekal mampan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib