Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Pahang menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir pihak yang berselindung di sebalik seragam dan institusi, namun gagal menjunjung integriti serta amanah, sekali gus mengkhianati masa depan negara.
Dalam titah baginda, Sultan Abdullah menegaskan penyalahgunaan kuasa bukan sekadar kesalahan pentadbiran, sebaliknya satu bentuk “kejahatan berjawatan” yang merosakkan asas negara.
“Maruah bangsa tidak diukur oleh ketinggian bangunan atau angka dalam akaun, tetapi nilai yang kita pertahankan ketika berdepan godaan kuasa,” titah baginda ketika merasmikan Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat di Kuantan hari ini.
Baginda turut menyentuh fenomena individu berjawatan yang mencemarkan nama institusi.
“Hari ini, ada yang memakai seragam, memegang kuasa dan membawa nama institusi, namun tangan kotor dan hati mati. Mereka bukan sekadar merosakkan imej organisasi, mereka mencuri masa depan anak bangsa,” titah baginda lagi.
Menurut baginda, rasuah dan kekayaan haram tidak boleh dinormalisasikan atas apa jua alasan.
“Rasuah itu bukan rezeki, ia najis. Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, ia racun,” titah baginda, sambil mengingatkan bahawa negara memerlukan lebih ramai insan yang berani mempertahankan kebenaran, bukan sekadar bijak berkata-kata.
Mengulas peranan belia, Sultan Abdullah menyeru generasi muda supaya bangkit memutuskan rantaian budaya kotor dan menjadi kelompok yang tidak mudah diugut atau dibeli.
“Jika kamu diberi kuasa dan menjadi angkuh, kamu telah gagal. Jangan wariskan kepada anak cucu negara yang megah pada bangunan, tetapi busuk pada asas,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut memberi peringatan tegas berhubung isu pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan.
Menurut baginda, perkara itu menyentuh kedaulatan negara dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kewarganegaraan bukan sekeping dokumen, ia adalah ikrar kesetiaan kepada raja dan negara. Ketegasan dalam perkara ini bukan kezaliman, tetapi benteng kedaulatan,” titah baginda.
Program wacana berkenaan dianjurkan Majlis Belia Malaysia sebagai platform dialog belia dan kepimpinan, dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang serta wakil kerajaan negeri.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib