Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menjejaskan pelaksanaan perintah tahanan rumah bagi kes SRC International Sdn. Bhd., menurut peguam Najib Razak.
Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah menerima surat rasmi perintah tahanan rumah daripada Yang di-Pertuan Agong berserta lampiran terma dan syarat pelaksanaannya.
“Najib memang sudah diberikan perintah tersebut bersama lampiran terma dan syarat pelaksanaan tahanan rumah. Cuma kandungan khusus tidak boleh didedahkan atas arahan pihak penjara bagi mengelakkan pelbagai spekulasi awam,” katanya selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Shafee, lokasi tahanan rumah Najib di Langgak Duta turut disahkan dan bekas Presiden UMNO itu akan tinggal bersama keluarganya di situ.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB sementara menunggu rayuannya didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.
Mengulas keputusan itu, Shafee menyifatkannya sebagai amat mengecewakan, namun pihak pembelaan akan mengambil langkah seterusnya dengan memfailkan permohonan baharu secara terus di Mahkamah Rayuan.
“Kami tidak berhasrat untuk merayu keputusan penolakan ini secara prosedur biasa kerana ia memakan masa. Kami akan terus memfailkan permohonan penggantungan yang baharu di Mahkamah Rayuan bagi menjimatkan masa,” katanya.
Beliau turut menegaskan penolakan permohonan penangguhan hukuman kes 1MDB tidak membatalkan perintah tahanan rumah yang didakwa diterima Najib bagi kes SRC International.
Shafee berkata, anak guamnya boleh menjalani baki hukuman kes SRC di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes berkenaan.
“Apabila anak guam saya membayar denda RM50 juta itu, beliau boleh menjalani perintah tahanan rumah kes SRC berkenaan sehingga tahun 2028,” katanya.
Bagaimanapun, kedudukan pelaksanaan hukuman bagi kedua-dua kes perlu dibezakan kerana keputusan mahkamah dalam kes 1MDB melibatkan hukuman berasingan daripada kes SRC International.
Najib sebelum ini disabitkan dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta, manakala kes 1MDB melibatkan penyelewengan dana berskala lebih besar. Perkembangan terbaharu itu menyaksikan usaha pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kes 1MDB diteruskan melalui Mahkamah Rayuan.
Shafee berkata, Najib sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
PRN Melaka: Akmal Saleh beri bayangan pindah kerusi
PRN Melaka: PH tangguh pengumuman calon ke 24 Oktober
Penggantungan PN kekal, mahkamah dengar semakan 22 Oktober
Isu 47 Kes Zahid: Azalina jawab kritikan Rayer, kuasa pendakwaan terletak pada AG
Syed Saddiq kekal rekod hadir penuh Parlimen, tidak pernah ponteng
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum