TH jual aset RM9.7 bilion elak institusi daripada lumpuh

July 31, 2026 · Isu semasa

Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan keputusan menjual aset bernilai RM9.7 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dengan menegaskan langkah itu dibuat bagi mengelakkan institusi berkenaan daripada menjadi tidak solven dan berdepan risiko muflis.

Penjelasan itu dibuat susulan penyahklasifikasian laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang kembali mencetuskan perdebatan berhubung pelan pemulihan institusi tersebut.

Menurut TH, pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 bukan sahaja berjaya memulihkan kedudukan kewangan, malah memastikan kepentingan jutaan pendeposit terus dilindungi.

“Pelan penstrukturan semula pada 2018 dilaksanakan bagi menangani defisit kewangan TH yang memerlukan tindakan penyelamatan segera daripada kerajaan untuk melindungi TH daripada insolvensi,” menurut kenyataan TH pada Jumaat.

TH menjelaskan masalah kewangan institusi itu bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya telah dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia sejak 2014 apabila pembayaran agihan keuntungan yang tinggi menyebabkan rizab menjadi negatif dan meningkatkan risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran.

Selain itu, Ketua Audit Negara dalam Penyata Kewangan TH bagi tahun berakhir 2017 turut membangkitkan isu amalan perakaunan yang tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar.

Laporan RCI pula mendapati jurang antara aset dan liabiliti TH terus melebar sehingga melebihi RM10 bilion pada penghujung 2018.

Menurut TH, tanpa pelan penyelamatan itu, institusi berkenaan bukan sahaja tidak dapat mengisytiharkan agihan keuntungan mengikut kehendak Akta Tabung Haji, malah berpotensi mencetuskan krisis kewangan sekiranya terpaksa menjual aset secara tergesa-gesa bagi memenuhi pengeluaran pendeposit.

Kerajaan ketika itu meneliti beberapa pilihan sebelum memutuskan aset yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, UJSB, bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti serta mengembalikan status solven TH.

Menurut TH, transaksi itu membabitkan pembelian aset bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion yang dibiayai melalui penerbitan sukuk UJSB.

Institusi itu turut menegaskan ia tidak kehilangan hak terhadap aset yang dipindahkan kerana diberikan hak keutamaan untuk membeli semula aset berkenaan sekiranya UJSB bercadang menjualnya pada masa depan.

“TH hanya akan mengambil semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan komersial dan demi menjaga kepentingan pendeposit,” katanya.

Sebagai contoh, TH memaklumkan institusi itu tahun ini membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM270 juta berbanding RM400 juta ketika dijual pada 2018. TH turut memperoleh semula ladang UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta, lebih rendah daripada harga RM800 juta ketika aset itu dipindahkan.

Laporan penuh RCI yang disiarkan kerajaan minggu ini mengandungi 25 syor bagi memperkukuh tadbir urus TH. Menurut institusi itu, kira-kira 75 peratus syor tersebut telah dilaksanakan sejak 2023.

TH berkata hasil pelan pemulihan itu, kadar agihan keuntungan kepada pendeposit meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus pada 2025, selain berjaya menghapuskan kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion secara berperingkat sehingga penghujung tahun lalu.

Isu pengurusan TH kembali menjadi perhatian selepas kerajaan menyiarkan laporan RCI pada Rabu lalu, sekali gus mencetuskan perdebatan politik mengenai pihak yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap kemerosotan kedudukan kewangan institusi berkenaan antara 2014 hingga 2020.

Berita berkaitan
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
October 26, 2026· Isu semasa
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
October 23, 2026· Politik
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
October 22, 2026· Isu semasa
RM4.3 bilion aset mafia korporat dibekukan sejak 2022: PMX
October 20, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
4 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
5 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
5 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
5 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok