TH sudah laksana 75 peratus syor RCI, komited perkukuh tadbir urus

July 29, 2026 · Isu semasa

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan sebanyak 75 peratus syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu telah diterima pakai dan dilaksanakan, manakala baki cadangan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Perkembangan itu diumumkan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahrahsia serta mendedahkan laporan RCI Tabung Haji kepada umum, selain sidang khas Dewan Rakyat dijangka diadakan bagi membahaskan laporan berkenaan.

Dalam kenyataannya, TH mengalu-alukan keputusan kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang memberi ruang kepada orang ramai memahami usaha pembaharuan yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

“TH telah pun mengambil maklum syor RCI mengenai apa yang berlaku pada masa lalu sebelum 2018. Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan,” menurut kenyataan berkenaan.

Menurut TH, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan termasuk memulihkan kedudukan kunci kira-kira, membina rizab kewangan serta meningkatkan agihan keuntungan kepada 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Institusi itu turut mengekalkan kos haji pada RM33,300 seorang bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, selain menegaskan komitmen untuk terus melindungi kepentingan pendeposit.

“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan memastikan institusi ini terus beroperasi dengan integriti serta tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan pendedahan laporan RCI sebagai langkah positif yang mampu memperkukuh lagi kedudukan TH sebagai institusi kewangan Islam negara.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu mencerminkan komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

“Dapatan dan laporan RCI ini dilihat secara positif sebagai peluang berharga untuk memperkukuh kedudukan institusi seperti TH,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lebih enam dekad penubuhannya, TH memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan serta urusan haji jutaan rakyat Malaysia sehingga menjadi model pengurusan dana Islam yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Zulkifli turut memaklumkan TH sudah dan sedang melaksanakan syor penambahbaikan RCI secara teratur bagi memastikan kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah dan kelestarian operasi terus terpelihara.

Katanya, usaha pembaharuan itu turut disokong prestasi kewangan yang kukuh serta pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi yang berjaya diraih secara konsisten.

“Pelaksanaan syor RCI dan pencapaian cemerlang ini menjadi pemangkin untuk TH terus mencipta kecemerlangan, memacu inovasi perkhidmatan dan memberikan nilai pulangan optimum kepada pendeposit,” katanya.

Tabung Haji menjadi perhatian selepas kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan tadbir urus institusi itu, khususnya melibatkan tempoh sebelum 2018.

Pendedahan laporan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan ketelusan, selain memastikan proses penambahbaikan institusi berkenaan dapat dinilai secara terbuka oleh rakyat.

Berita berkaitan
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
October 22, 2026· Isu semasa
Parlimen: 13 syor RCI Tabung Haji sudah dilaksana
October 9, 2026· Isu semasa
Rayuan haji 2027 dibuka 2 Oktober
September 28, 2026· Isu semasa
Kes Tabung Haji: Azeez, keluarga diminta isytihar harta kepada SPRM
September 19, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
5 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
6 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
6 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
6 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok