Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Peguam bela Najib Razak hari ini mendakwa pihak pendakwaan gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh yang menunjukkan bekas Perdana Menteri itu pernah hadir ke AmIslamic Bank atau menggunakan pengaruhnya berhubung empat tuduhan salah guna kedudukan.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengatakan lokasi jenayah yang didakwa berlaku di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, tidak langsung dikaitkan dengan kehadiran Najib.
Beliau menegaskan, tiada saksi atau bukti yang menunjukkan Najib pernah menjejakkan kaki di bank berkenaan, apatah lagi menggunakan pengaruhnya di situ.
“Di mana buktinya bahawa Datuk Seri Najib pernah berada di AmIslamic Bank untuk menyalahgunakan kedudukan yang membolehkan mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan itu?” soal Wan Azwan Aiman semasa berhujah.
Beliau seterusnya mendakwa keempat-empat pertuduhan tersebut adalah cacat, kabur, dan mengandungi unsur pendakwaan berganda yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang.
“Kami menghujahkan bahawa tuduhan yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib adalah cacat, mengandungi pendua tersembunyi dan tetap diteruskan walaupun ia kabur dan mengelirukan,” tegasnya.
Wan Azwan Aiman juga mempersoalkan bagaimana satu tuduhan pertama ke atas Najib boleh menggabungkan lima tarikh, lima tindakan, empat lokasi dan tiga kapasiti rasmi tanpa dianggap sebagai pendakwaan berganda.
Beliau turut membangkitkan isu salah laksana keadilan, dengan menyifatkan keputusan Hakim Collin Lawrence Sequerah di peringkat akhir kes pendakwaan yang menyatakan tuduhan tidak bertindih adalah pramatang.
“Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengesahkan bahawa keputusan berkenaan telah dibuat secara pramatang dan tergesa-gesa, yang dengan sendirinya menunjukkan berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan ini,” katanya.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Muktamad! Tiada kerjasama dengan PAS walaupun putus dengan Bersatu: Zahid
UMNO jangan ulang formula lama kerjasama dengan PAS: Mahfuz
Bersatu tetap teguh walau ditinggalkan PAS: Azmin
Amanah sasar bertanding 20 kerusi pada PRN Johor
Perpisahan PAS-Bersatu sudah dijangka apabila tiada keikhlasan: Zahid
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi