Insiden kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya.
Laporan Jawatankuasa Siasatan Letupan Paip Gas Putra Heights memaklumkan tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam insiden melibatkan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru pada 1 April lalu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata hasil siasatan mendapati punca kebakaran adalah disebabkan mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (cm) dalam tempoh 25 tahun lalu.
“Siasatan yang dijalankan oleh pasukan teknikal mendapati sejak talian paip gas ini ditauliahkan pada 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm dalam tempoh 25 tahun.
“Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada sebarang tindakan sabotaj ataupun kecuaian yang menyebabkan kejadian ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.
Jawatankuasa ini diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia; Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia; Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta PDRM.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, siasatan melibatkan integriti struktur paip, faktor luar serta geologi tapak tersebut antara DOSH, JMG, dan JKR mendapati, kesan mendapan tanah menyebabkan berlakunya pergerakan paip gas sebanyak 15.9cm.
“Ini dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan fatigue dalam struktur paip.
“JMG mendapati kawasan tanah tersebut tepu air dan mempunyai takungan air bawah tanah semulajadi yang menyebabkan tanah kawasan tersebut telah menjadi lembut,” katanya.
Jelasnya, meskipun paip gas tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan piawaian yang ditetapkan, kegagalan paip didapati berpunca daripada beberapa faktor persekitaran.
“Ini termasuk keadaan tanah kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monson dan culvert terkesan akibat keadaan tanah serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.
“Pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi, 1 April lalu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Jawatankuasa Khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan melibatkan pakar termasuk Petronas.
“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa laporan siasatan ini akan menjadi asas kepada analisa risiko di setiap kawasan yang seumpamanya.
“Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyampaikan cadangan pembaharuan undang-undang, prosedur kelulusan kebenaran merancang, dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim, serta semua kawasan jajaran Right-of-Way talian paip gas.
“Ini amat penting bagi mengukuhkan kawasan Putra Heights serta kawasan seumpamanya supaya insiden ngeri sebegini tidak berulang lagi,” katanya.
Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi ke status negara berpendapatan tinggi
38 Pusat undi awal PRN Negeri Sembilan ditutup
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
Polis panggil sanusi, pemimpin UMNO bantu siasatan
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat