Kebebasan media di Malaysia terjamin.
Kerajaan mengulangi komitmen terhadap kebebasan media, dengan menyatakan penutupan akses laman web dilaksanakan khusus terhadap kandungan haram dan tidak menyasarkan organisasi media yang sah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan langkah sekatan adalah tindakan terakhir bagi kandungan yang jelas melanggar perundangan dan tidak melibatkan pengamal media yang berdaftar secara sah.
“Pada masa ini, hampir semua laman web yang diarah tutup aksesnya berkait dengan judi, pornografi dan perkara-perkara yang melanggar undang-undang di dalam negara, bukannya melibatkan aspek media,” jelasnya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menambah, tindakan ini dilakukan secara teliti di bawah rangka kerja undang-undang sedia ada.
Fahmi berkata, kerajaan tidak melaksanakan pelesenan atau kawal selia ke atas media dalam talian, sama ada tempatan atau antarabangsa, selaras dengan prinsip menjaga kebebasan bersuara dalam ekosistem digital.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan boleh diambil sekiranya terdapat penyalahgunaan rangkaian telekomunikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah berdasarkan aduan dan penilaian berasaskan undang-undang, bukan atas perbezaan pandangan atau kritikan terhadap kerajaan,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan akta tersebut mempunyai peruntukan yang membolehkan tindakan terhadap kandungan dari luar negara yang memberi kesan buruk di Malaysia.
Mengenai usaha memperkukuh etika kewartawanan, Fahmi menyebut kerjasama erat dengan Majlis Media Malaysia (MMM).
“MMM berperanan membangunkan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, termasuk merangka tata kelakuan bagi meningkatkan profesionalisme,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pemberdayaan Kod Etika Wartawan Malaysia 2024 bagi menangani cabaran digital seperti berita palsu dan manipulasi AI.
Menjawab persoalan indeks kebebasan media antarabangsa, Fahmi menyifatkan ukuran tersebut sebagai relatif, sambil menegaskan prinsip kebebasan media akan terus dipertahankan dan dimartabatkan oleh kerajaan.
MP DAP gesa tindakan tegas berhubung isu hina simbol agama
Malaysia pantau konflik Asia Barat, nilai kesan terhadap ekonomi: Akmal Nasrullah
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Mufti Perlis bimbang pengaruh gerakan Hindutva menular, punca provokasi kaum
Ringgit lemah walaupun harga minyak naik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan