Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan.
Taktik licik menyembunyikan syabu dalam tin makanan untuk dihantar ke Sabah terbongkar selepas polis menahan lima individu dalam tiga serbuan di sekitar Selangor dan ibu negara.
Dalam operasi yang dijalankan hasil risikan berterusan, pihak berkuasa merampas sebanyak 61 kilogram methamphetamine bernilai kira-kira RM3.05 juta.
Kesemua suspek, termasuk seorang wanita warga asing, dipercayai memainkan peranan tertentu dalam rangkaian pengedaran itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan, berkata sindiket berkenaan aktif sejak Mac lalu dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Dadah ini dibungkus semula ke dalam tin makanan sebelum dihantar ke Sabah. Dalam serbuan pertama di Serdang Perdana, polis menemui 48 tin berisi 30.4 kilogram syabu, manakala serbuan susulan di Bukit Jalil menemui 30.6 kilogram lagi,” katanya.
Beliau menjelaskan, operasi itu dijalankan melalui kerjasama antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Sabah serta JSJN Sabah, yang berjaya menjejaki pergerakan sindiket terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia antara 22 hingga 45 tahun, dengan seorang bertindak sebagai koordinator utama, manakala yang lain berperanan sebagai penghantar dan pengangkut dadah.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua kenderaan, iaitu Honda City dan Hyundai Elantra, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM79,000.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti ini adalah kesalahan serius,” katanya.
Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dalam kes ini mencecah RM3.13 juta. Polis turut memaklumkan dadah yang dirampas berpotensi merosakkan lebih 300,000 pengguna.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
Minyak dunia berisiko melonjak AS$140 setong: Goldman Sachs
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum