Najib Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak yang meminta Hakim Datuk Loke Yee Ching menarik diri daripada mengendalikan semakan kehakiman berhubung dakwaan titah adendum membenarkannya menjalani hukuman tahanan rumah.
Permohonan itu dibuat secara lisan oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah pada awal prosiding yang sepatutnya mendengar permohonan untuk meminda tuntutan dalam saman berkenaan.
Shafee berhujah bahawa keputusan hakim pada 4 September lalu yang menolak permohonan Najib untuk memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh adalah satu penentuan awal terhadap perkara pokok dalam kes mereka.
“Yang Arif telah menyentuh aspek ‘duty of candour’ (kewajipan ketelusan penuh) pada peringkat permohonan kebenaran prosiding hina mahkamah, dan telah membuat keputusan yang ia tidak terpakai pada peringkat itu,” katanya.
“Kami mengatakan ia terpakai sejak dari situ, dan saya diarahkan untuk memohon agar Yang Arif mempertimbangkan untuk menarik diri,” tambah Shafee sambil menyatakan mereka tidak akan merayu keputusan penolakan itu pada peringkat ini tetapi akan membangkitkannya semula jika perlu kelak.
Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan membalas dengan menyatakan permohonan tersebut adalah pramatang dan sepatutnya difailkan secara rasmi.
Selepas mendengar hujah, Yee Ching menjelaskan bkeputusannya mengenai isu ‘duty of candour’ hanya terpakai dalam konteks prosiding hina mahkamah dan tidak lagi relevan pada peringkat substantif semakan kehakiman ini.
“Apabila saya memutuskan bahawa ‘duty of candour’ tidak timbul, ia adalah dalam konteks permohonan kebenaran. Sekarang kebenaran itu tidak diberikan, saya rasa kita sudah melepasi peringkat itu,” jelasnya.
“Oleh itu, saya terpaksa menolak permintaan ini,” tegasnya.
Kes ini bermula apabila Najib memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu, memohon perintah mandamus untuk mengesahkan kewujudan titah adendum yang didakwanya membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Mahkamah Tinggi pada asalnya menolak semakan kehakiman itu pada 3 Julai 2024, tetapi keputusan tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu.
Keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuan Peguam Negara.
Pada 4 September lalu, Yee Ching juga menolak permohonan Najib untuk memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin dengan alasan hujahan Najib adalah spekulatif dan bekas Peguam Negara itu tidak mempunyai ‘duty of candour’ untuk membuktikan kewujudan titah adendum tersebut.
Kes ini kini akan diteruskan untuk dibicarakan secara substantif.
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
Tangguh PRN: Mat Maslan jelaskan itu pandangan peribadi
AMK Johor cadang tangguh PRN, fokus bantu rakyat hadapi krisis
PKR Titiwangsa cadang kuota subsidi diesel kepada pengguna persendirian
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan