Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan, menasihati kepimpinan MIC agar menggunakan platform Dewan Tertinggi BN untuk menyampaikan sebarang pandangan atau meluahkan rasa tidak puas hati berbanding mengeluarkan kenyataan di luar yang boleh membawa kepada salah tafsiran.
Tok Mat juga menekankan MIC perlu kekal dalam gabungan BN memandangkan sejarah panjang bersama dalam membangunkan negara sejak sebelum merdeka dan menegaskan amalan berdiam diri dalam mesyuarat tetapi mengkritik di luar adalah tidak sihat.
“Kalau ada pandangan, beritahulah… jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu.
“Keharmonian dalam BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan seperti itu.
“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada platform Dewan Tertinggi BN yang selama ini menjadi forum kepada semua parti gabungan dalam BN termasuk UMNO dan MCA.
“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti, maka ada baiknya pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN.
“Itu lebih baik daripada kita bercakap di luar atau mengeluarkan pandangan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti sendiri,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Ujarnya, pendekatan tersebut dianggap lebih baik daripada membuat kenyataan di luar yang mungkin memberi kesan negatif kepada parti sendiri dan gabungan.
Kenyataan Tok Mat itu susulan kenyataan beberapa pemimpin MIC yang membayangkan hasrat parti itu untuk keluar dari BN.
Isu tersebut tercetus ekoran dakwaan bahawa Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, tidak menunaikan janji berhubung jawatan Kabinet sebagai balasan atas sokongan MIC kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Difahamkan, empat badan perhubungan negeri MIC telah meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN, menandakan satu lagi cabaran dalam hubungan komponen parti itu.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum